Selasa, 2 Jun 2015

Tuan Ibrahim: PAS harus jadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat

Oleh Nur Shakira Buang
Post Pic
 
 
 
BENTONG: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS kerana yakin boleh memperkasakan parti itu untuk menjadi tonggak utama Pakatan Rakyat bagi menawan Putrajaya. 
 
Beliau berkata, adalah wajar parti itu diperkuatkan sebagai parti utama di dalam Pakatan Rakyat memandangkan PAS sudah menjangkau usia lebih enam dekad, 
 
"PAS mesti dilihat sebagai satu parti yang dominan atau parti yang utama dalam PR, sesuai dengan usia PAS yang sudah 63 tahun. 
"Maka, harapan orang ramai khususny ahli PAS ialah PAS mesti diperkasakan, mesti kuat sebagaimana juga kita perlu ketiga-tiga parti kompenan dalam PR kuat.
 
"Kalau PAS gagal mendapat undi khususnya dikalangan pengundi Melayu maka hasrat PR untuk ke Putrajaya tidak akan berjaya," kata beliau yang melepaskan jawatan Naib Presiden PAS untuk bersaing bagi jawatan Timbalan Presiden. 
 
Tuan Ibrahim berkata aspirasi akar umbi mahu membina PAS yang lebih kuat di terjemahkan dalam pencalonan yang begitu tinggi untuk beliau tampil menyokong gerak atur presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selaku timbalannya bagi terus meperkasakan PAS.  
 
Berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima, Tuan Ibrahim mempunyai peluang cerah memenangi jawatan timbalan presiden setelah penyandangnya  Mohamad Sabu hanya menerima 12 pencalonan berbanding 94 yang diterima oleh Pesuruhjaya PAS Pahang itu. 
 
Desakan untuk PAS mengkaji semula kerjasamanya dengan DAP dan PKR semakin lantang selepas pilihan raya umum ke 13. 
 
Meskipun menjadi parti pembangkang terbesar di Malaysia dengan lebih sejuta ahli, PAS hanya mampu meraih 21 kerusi parlimen pada PRU 13, berbanding 30 oleh  PKR manakala DAP memenangi 38.  
Umno-Barisan Nasional juga berjaya menawan semula kerajaan negeri Kedah daripada PAS. 
 
Prestasi suram berkenaan  dikaitkan dengan persepsi bahawa PAS cepat beralah kepada kehendak DAP dan PKR dalam isu-isu tertentu, sehingga menghakis keyakinan pengundi Melayu, terhadap parti itu, khususnya di luar bandar di mana Umno kembali meraih sokongan. 
 
Kejayaan besar DAP pad PRU 13 pula dilihat  menjadikan parti itu semakin angkuh dalam menolak dasar-dasar Islam PAS, khususnya  pelaksanaan hudud di Kelantan. 
 
Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tidak boleh bekerjasama dengan kepimpinan ulama yang diterajui Hadi, sekali gus mengundang tuduhan bahawa parti itu cuba campurtangan dalam pemilihan  PAS Khamis ini. 
 
Perbalahan DAP-PAS  menimbulkan pertembungan golongan ulama di dalam PAS yang mahu mengkaji semula kerajsama tahaluf siyasi dengan antara PAS dengan PKR dan DAP serta golongan professional yang selesa dengan bentuk kerjasama yang sedia ada dalam pakatan itu. 
 
Tuan Ibrahim berkata keputusanya untuk bertanding jawatan timbalan presiden juga didorong oleh hasrat merapatkan saf  di dalam PAS. 
  
"Saya lihat ada keperluan dalam konteks apa yang sedang berlaku sekarang ini dimana wujud pertembungan dalaman parti yang memerlukan satu usaha yang bersungguh untuk merapatkan kembali jurang yang ada dikalangan ahli parti.
 
"Dan saya tengok mungkin di situ saya boleh berperanan untuk penyatuan dikalangan dua-dua kumpulan walaupun kedua-dua kumpulan ini tidaklah...nak kata pertembungan ulama dan profesional saya ingat tidak, " ujar beliau. 
 
Tuan Ibrahim berkata nama-nama jolokan yang diberi kepada kumpulan-kumpulan tertentu adalah hanya kerana kehangatan kempen pilihan raya. 
 
"Setakat ini media pun umum tidak tahu untuk menamakan kumpulan tersebut apa...ada yang kata ulama lawan profesional, kumpulan Anwarinas menentang ulama, kumpulan pro-pakatan tentang Pakatan Rakyat dan berbagai-bagai lagi.
 
"Sebenarnya tidak ada pertembungan begitu dalam bentuk kumpulan-kumpulan sebaliknya ada perlumbaan bagaimana untuk kita memilih kepimpinan baru itu sahaja," kata beliau dalam meremehkan persengketaan di antara dua kumpulan berkenaan. 
 
Pemimpin kanan PAS itu menegaskan parti itu hanya boleh bergerak ke depan dengan gandingan semua pihak, tidak kira latar belakang mereka. 
 
"Ada ulama dan profesional, bagi PAS ketiga-tiga kompenan ini kita terima secara baik sama ada ulama, profesional atau aktivis parti.
  
"Mereka ini penyumbang kepada parti dan kita tak mungkin menolak atau mengambil satu... sebab kita parti politik yang mana mesti menerima semua kumpulan dalam perjuangan kita," kata beliau.


Tiada ulasan: