Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sekali lagi didedahkan tidak jujur dalam kenyataannya mengenai wang tunai yang didakwa disimpan di Kepulauan Cayman.
Wang tunai yang dimaksudkan adalah sebanyak AS$1.103 bilion yang didakwa telah ditebus kembali Januari lalu kemudian disimpan di BSI Bank di Singapura.
Namun laporan BSI mendedahkan akaun 1MDB itu bukan dalam bentuk tunai tetapi dalam bentuk aset.
Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, Arul tidak bersikap jujur di dalam kenyataan terbarunya apabila tidak menjelaskan adakah wang tunai itu pernah dilihat sendiri oleh Arul atau ia hanya dalam bentuk aset.
“Semua respon Arul Kanda terhadap pengkritik seperti saya tidak menyelesaikan isu utama 1MDB.
Bagaimanapun satu responnya jelas menunjukkan beliau adalah seorang penipu hebat,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Tony menambah pengkritik 1MDB mempersoalkan adakah AS$1.103 bilion itu dalam bentuk tunai atau aset, namun Arul dalam kenyataannya seolah-olah mahu menyembunyikan hakikat situasi kewangan 1MDB.
Dalam satu temu bual dengan Singapore Business Times Arul pernah mengatakan melihat sendiri penyata akaun tunai di Kepulauan Cayman.
Namun, dalam kenyataannya terbarunya Arul hanya mengatakan melihat ‘penyata’ tanpa menjelaskan ia adalah tunai atau dalam bentuk unit aset.
“Adakah Arul Kanda akhirnya terpaksa mengakui bahawa tidak ada “tunai” di BSI Bank selepas didedahkan menipu apabila pihak berkuasa Singapura menyerahkan bukti kepada Bank Negara Malaysia?
“Ini juga menimbulkan persoalan, mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Lembaga Pengarah 1MDB masih percaya kepada Arul untuk uruskan dan “memulihkan” skandal terbesar dalam sejarah negara?” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan