THE MALAYSIAN INSIDER
"Yusuf
dipukul sampai cacat ketika berada di kem dalam hutan sebelum dibebas
selepas suami saya bayar RM2,000 kepada ejen," kata Rokiah Abdul Hamid,
26, wanita Rohingya yang menetap di negara ini.
Beliau berkata Yusuf Abdul Majid, 17, ditinggalkan di tepi jalan di
Alor Setar oleh sindiket yang membawa masuk remaja Rohingya itu ke
negara ini selepas suami Rokiah membayar wang yang diminta untuk
menyelamatkan Yusof.
Yusuf, yang baru 2 bulan diselamatkan dan kini tinggal bersama keluarga
Rokiah di Butterworth, tidak boleh berbahasa Melayu. Remaja yang
dahulunya dikatakan sihat dan sempurna itu kini lumpuh.
Rokiah yang dilahirkan di negara ini, berkata atas dasar kemanusiaan
dan simpati, suaminya membayar wang yang diminta ejen untuk
menyelamatkan Yusof yang dikatakan tidak mempunyai saudara mara di
Butterworth, selepas ibu Yusuf meminta pertolongan mereka.
"Dia (Yusuf) dibawa ke Siam, lepas tu dia orang bawa ke Malaysia...
kalau yang ada saudara (di Butterworth) dia orang (sindiket) ambil
RM6,000 atau RM7,000.
"Kalau yang tak ada saudara atau orang nak tolong bayarkan, dia orang
mati kat sana... ada yang dijual, perempuan di tempat pelacuran, yang
lelaki dijual kepada kapal tangkap ikan di Siam," katanya ketika ditemui
Bernama di rumahnya di sebuah perkampungan yang menempatkan ramai
rakyat Myanmar keturunan Rohingya di Butterworth.
Beliau berkata, Yusuf ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan lemah dan tidak boleh berjalan.
"Sepuluh bulan dia dalam hutan, dia dipukul sampai cacat. Dia orang tak
bagi tahu yang dia (Yusuf) sudah cacat... kalau tak ada orang nak
ambil, dia orag tak bagi makanan, dekat hutan dia orang simpan tak bagi
jalan," katanya.
Beliau berkata semua urusan untuk menyelamatkan Yusuf dibuat melalui telefon dan bayaran dibuat melalui bank.
"Selepas bayaran dibuat, dia orang cakap tempat tu ada lu punya orang, lu orang pergi ambil," katanya.
Seorang lagi remaja Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia,
Mohamad Salim Huson Ahmad, 16, berkata beliau nekad meninggalkan
kampung kelahirannya kerana kehidupan di sana amat susah.
Mengimbas kembali detik perjalanan ke Malaysia setahun lepas, Mohamad Salim berkata ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Mereka (sindiket) letak saya tiga bulan dalam hutan di Thailand
sebelum bawa saya ke Padang Besar. Mereka minta RM6,500 tapi saya tak
ada duit.
"Mereka minta saya telefon keluarga untuk bayar duit, tapi saya cakap
saya tak ada duit, makan pun susah. Lepas itu mereka pukul saya,"
katanya.
Tidak tahan dengan keadaan di kem transit yang menempatkan pendatang
Rohingya, Mohamad Salim mengambil keputusan untuk melarikan diri sebelum
ditahan oleh pihak Imigresen di Alor Setar, Kedah.
"Saya pada masa itu tidak takut apa-apa. Saya hanya takut pada Allah
sahaja," katanya yang kini
merupakan pemegang kad UNCHR dan bekerja di
kedai membaiki pendingin hawa sejak 3 bulan lepas.
Seorang lagi remaja Rohingya yang ditemui, Rahimullah Mohammad Leddu,
18, pula berkata beliau lebih rela ditahan polis atau Imigresen daripada
pulang ke Myanmar.
"Saya tak nak balik, kalau saya balik mesti saya mati. Kalau polis atau
Imigresen tangkap, mereka akan tolong," katanya yang juga pemegang kad
UNCHR. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan