THE MALAYSIA INSIDER
Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini
menggesa Datuk Seri Najib Razak mencabar anggota Kabinetnya membalas
serangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bukannya meminta
mereka meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan pelan pemulihan
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas menteri penerangan itu berkata, Najib pasti tidak akan tahu siapa
antara menteri yang sebenarnya tulen dan ikhlas menyokong beliau
menangani 1MDB dengan mencabar mereka meletak jawatan kerana mustahil
mereka akan berbuat demikian.
"Sebaliknya beliau mestilah mencabar mereka supaya tampil ke hadapan
menyerang balas Dr Mahathir di TV3 dan di akhbar seperti yang dilakukan
Pengerusi BNBBC Tan Sri Sharir Abdul Samad atau Presiden Mubarak Abdul
Aziz Abdul Rahman," tulisnya di blognya hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan hari ini, Najib pada Jumaat memberi kata dua
kepada mana-mana anggota Kabinet yang tidak menyokongnya dalam usaha
memulihkan syarikat sarat hutang 1MDB, untuk meletak jawatan.
Memetik sumber, akhbar milik Umno itu melaporkan, beliau membuat
kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota
Kabinet pada mesyuarat itu.
Bagaimanapun, difahamkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani
tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun
diberi peluang berbuat demikian.
"Perdana menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama
dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun
berbuat demikian," sumber itu dipetik berkata.
Zainudin berkata Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin; Naib Presiden Umno merangkap Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Ketua Pemuda Umno
Khairy Jamaluddin yang juga menteri belia dan sukan, sepatutnya
mendahului Sharir dalam berbuat demikian.
"Dengan itu tidaklah Najib berada dalam krisis keyakinan diri yang amat runcing," katanya.
Beliau berkata, anggota Kabinet harus sedar serangan balas Sharir tidak
begitu berkesan kerana beliau diketahui umum "sedarah, sejiwa, sebulu
dengan (Tun) Musa Hitam menyimpan dendam kesumat sekian lama terhadap Dr
Mahathir."
"Dan sokongannya juga tidak dilihat sebagai sokongan generasi muda
seperti sokongan yang terlihat kepada Dr Mahathir, sekalipun beliau
sudah tua," katanya.
Shahrir pada 26 Mei berkata di lobi Parlimen, sekiranya menteri tidak
bersetuju dengan keputusan kolektif yang dibuat semasa mesyuarat
Kabinet, mereka perlu meletak jawatan.
Beliau bersetuju dengan saranan Tengku Razaleigh Hamzah yang seluruh
Kabinet harus mengambil tanggungjawab dalam skandal 1MDB kerana prinsip
Kabinet ialah tanggungjawab bersama.
Zainuddin berkata, mereka yang setakat ini berani menyuarakan bantahan
kepada Dr Mahathir hanya mereka yang kini tidak lagi berkuasa atau
berintegriti.
"Yang jelas kerap terpampang di akhbar perdana dan di TV3 menjadi suara
berani menyerang balas Dr Mahathir bagi mempertahankan kepimpinan Najib
dalam masalah IMDB terdiri daripada orang yang sudah hilang autoriti
dan integriti, yang menyeleweng daripada parti asal atau daripada parti
yang sudah bankrap, orang yang tidak lagi diterima bukan sahaja rakyat
biasa, tetapi dipandang serong orang Umno sendiri.
"Juga menjadi persoalan besar mengapakah Zahid, naib presiden nombor
satu, seorang yang paling popular dalam parti, tidak jelas pendiriannya.
"Jika hanya sampah-sampah yang jelas menyokong maka akhirnya Najib akan tenggelam dalam timbunan sampah," kata Zainuddin.
Oleh itu, katanya, lebih baik menteri Kabinet menyerang balas Dr
Mahathir daripada meletak jawatan yang hanya akan memecahkan belahkan
parti dan kerajaan.
Janganlah biarkan Najib kelihatan oleh rakyat keseorangan dalam perjuangan mempertahankan diri, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan