Rabu, 3 Jun 2015
Penstrukturan semula MAS: MASEU diam saja?
0leh Zahid M Naser
KUALA LUMPUR: Sudah jatuh, ditimpa tangga.
Nasib 20,000 kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengalami masa depan terumbang-ambing menjadi semakin parah apabila pihak kesatuan didakwa tidak menyatakan pendirian mereka mengenai langkah ‘penstrukturan semula’ syarikat itu.
Seorang jurutera MAS yang enggan dikenali berkata, Kesatuan Sekerja MAS (MASEU) tidak “berdiam diri” walaupun telah berbincang dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan berkenaan di Hong Kong.
“Kami pekerja MAS tak tahu apa pendirian MASEU, yang kami diberitahu mereka ada mesyuarat dengan pengurusan MAS di Hong Kong, tapi kami tak tahu apa-apa daripada mesyuarat itu,” jelasnya.
Menurut jurutera berusia 31 tahun itu, maklumat daripada badan tertentu seperti MASEU penting sebagai panduan untuk kakitangan MAS.
“Kakitangan banyak dapat maklumat dari media berbanding dari komunikasi dalaman syarikat,” katanya.
Tak dapat surat status
Beliau turut mendakwa MAS menjanjikan surat pengesahan status sebelum 1 Jun lalu namun sehingga semalam surat berkenaan belum diterima.
“Cuma satu yang paling kami takut, iaitu skim sambung kontrak selama tiga atau enam bulan. Dengan skim itu syarikat mungkin syarikat tak akan bayar pampasan penuh,” ujar beliau.
Keadaan itu menyebabkan mereka bimbang dan berpendapat risiko diberhentikan sangat besar kerana mengikut perkiraan kakitangan 90 peratus dari pekerja akan dibuang kerja tanpa mendapat apa-apa jaminan.
Dalam pada itu, jurutera terbabit menambah ada ura-ura pejabat MAS di Subang akan ditutup.
“Di semenanjung, ada tiga pusat pengurusan besar. Di Pulau Pinang, Sepang, dan Subang.
“Di Subang ni macam nak tutup terus. Kami lihat pengurusan nak buang 90 peratus pekerja,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan MAS akan melaksanakan penstrukturan semula yang dilihat akan ‘mencabut nyawa’ lebih 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu.
Difahamkan dari keseluruhan pekerja MAS, hanya dua pertiga sahaja yang akan kekal bekerja ekoran penstrukturan semula tersebut di samping hilang kekananan dalam jawatan kerana terpaksa mendatangani kontrak baru di bawah MAS Berhad. – Roketkini.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan