Ahad, 21 Jun 2015

BTN diberi tempoh 14 hari mohon maaf

MALAYSIAKINI


 


Biro Tata Negara (BTN)) diberi tempoh 14 hari untuk memohon maaf secara terbuka kepada beberapa individu dan penerbit persendirian yang didakwa memberi kesan negatif kepada kerajaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, syarikat Merpati Jingga berkata tuduhan terkandung dalam slaid BTN bertajuk Gerakan Indie di Malaysia yang pernah boleh diakses melalui laman web agensi itu, www.btn.gov.my.

Bagaimanapun kandungan itu dipadam pada 15 Jun lalu.

"Dalam slaid tersebut dinyatakan terdapat sebuah gerakan yang memberi kesan negatif kepada kerajaan.  Kumpulan ini dilabelkan sebagai sebuah geng, malah empat daripada “pemain utama geng indie” dituduh sebagai menyokong pembangkang.

"Buku-buku kami juga dituduh lucah sehingga penulis Melati Rahim dilabel sebagai penulis cerita lucah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan yang disokong penulis Benz Ali dan Melati Rahim itu turut menyatakan kemusykilan mengenai hasil kajian BTN yang boleh merumuskan bahawa individu didakwa “pemain utama geng indie” merupakan penyokong pembangkang.

"Menuduh seseorang penulis itu sebagai ekstrem juga adalah amat keterlaluan. 

Memberi jawatan exco Angkatan Muda PKR kepada Faisal Mustaffa yang sudah berusia 44 tahun (tidak layak dalam sayap Angkatan Muda Parti) dilakukan sewenang-wenangnya dan mungkin bersifat jahat."

"Perlu dinyatakan di sini bahawa indie sebenarnya merujuk kepada bebas yang tidak terikat dengan mana-mana institusi yang sudah dari peringkat awal menyusun atur perjalanan sesebuah organisasi. 

Menurut Rangkaian Penulis Independen (Alliance of Independent Authors), “independent” bermaksud penerangan inklusif dan sentiasa bersifat relatif," kenyataan itu dipetik.

Acara dihadiri menteri

Kata Merpati Jingga, penulis independen bukan hanya menerbitkan buku mereka sendiri tetapi juga bekerjasama rapat dengan penyunting dan pereka grafik yang bekerja sendiri (freelance),

Tambah syarikat penerbitan itu, takrifan indie menurut BTN banyak menyimpang daripada pemahaman sebenar.

"Acara KOLUMPO KITA PUNYA yang diadakan pada 18 Oktober 2014 di Dataran Underground Kuala Lumpur, turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beramah-mesra dengan peserta yang mengambil bahagian.

"Begitu juga acara EKSOTIKATA pada 1 November 2014 berlangsung di Rumah PENA, Menteri Belia dan Sukan turut meluangkan masa mengunjungi acara tersebut.

"Jadi, bagaimana pengacaraan seperti KOLUMPO KITA PUNYA dan EKSOTIKATA dikatakan sebagai mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan?" soal Merpati Jingga.

Sehubungan itu, Merpati Jingga bersama syarikat penerbitan Du Book Press, Thukul Cetak, Frinjan dan Grup Buku Jalanan menganggap BTN melalui Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan telah membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa

"Sekiranya pihak BTN gagal menarik balik modul pengajaran tersebut dan mengakui kesilapan fakta yang dibuat dalam slaid mereka, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya," tegas kenyatan tersebut. 


Tiada ulasan: