KAJANG - Selain mengesahkan keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas di Dun Kajang, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini berkata, penyertaannya dalam PRK itu adalah untuk “mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid" dan Selangor.
"Keputusan ini telah saya fikirkan semasak-masaknya, atas faktor ingin membela prinsip politik yang sihat, mempertahankan Tan Sri Khalid dan bagi menjamin kesejahteraan Selangor dan seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media khas di Restoran Satay Kajang Haji Samuri, di sini, hari ini.
Menurut bekas menteri undang-undang itu, setelah membuat pertimbangan untuk membela prinsip politik yang sihat, langkah bertanding di Dun Kajang perlu dilakukannya demi menghormati mandat rakyat Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan seluruh anggota kerajaan negeri Selangor.
Ekoran keputusannya itu, PRK Dun Kajang setakat ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PR), calon dari BN-MCA dan dirinya.
Dun Kajang kosong berikutan penyandangnya dari PKR, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Januari yang lalu, yang disifatkan Zaid sebagai "tindakan politik yang tidak sesuai".
Berikutan itu SPR telah menetapkan bahawa PRK Dun Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini sementara hari penamaan calon jatuh pada 11 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan