Chew Mei Fun Chew Mei Fun


SHAH ALAM – Siapa calon paling sesuai bakal diletakkan MCA di PRK Dun Kajang masih menjadi teka-teki sehingga kini.

Tersebar khabar angin yang menyebut Timbalan Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bakal dipilih MCA untuk melawan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan depan.

Mungkinkah tanda tanya itu akan terjawab petang ini apabila Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ke Kajang untuk melancarkan bilik gerakan MCA.

Khamis lalu, Tiong Lai mengesahkan partinya bakal bertanding di pilihan raya kecil itu dan tiga calon telah disenarai pendek termasuk seorang wanita serta dua calon muda.

Memetik laporan sebuah portal, Chew Mei Fun menolak spekulasi peluang kemenangannya bagi menentang Anwar kerana beliau menganggap tugasnya adalah untuk berusaha demi parti dan aspirasi BN.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran atau cuba mencari pengaruh sebagai calon. MCA seharusnya memilih seorang calon yang dilihat mempunyai sokongan kuat bukan sahaja dari dalam parti namun hingga ke akar umbi sebelum membuat keputusan.

"Tidak kira siapa pun ahli parti sama ada calon itu diperlukan oleh MCA atau adakah pemimpin yang dipilih boleh memenangi PRK atau tidak, mereka perlu menyokong kerana itulah yang diharapkan daripada anda," katanya.

Katanya amat penting bagi MCA menjadi sebahagian daripada kumpulan pembangkang di Selangor tambahan pula apabila parti itu tidak mempunyai sebarang kerusi di negeri berkenaan.

"Jika saya dinamakan sebagai calon, saya akan menjadikannya sebagai  satu tuntutan dan tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik," katanya yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.