THE MALAYSIAN INSIDER
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Seri S.K. Devamany (gambar) hari ini membidas tindakan pihak yang cuba mencetuskan situasi "huru-hara" dengan menghantar surat palsu ke pejabatnya kononnya daripada seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mencabar kemuliaan Dewan Undangan Negeri dan sistem demokrasi yang selama ini didukung rakyat.
"Tindakan itu mencabar kemuliaan Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya tidak boleh dipermainkan. Badan Eksekutif, Kehakiman dan Dewan Undangan Negeri merupakan tiga elemen kerajaan yang penting, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas mencabar sistem demokrasi yang kita dukung," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Semalam, Adun Hutan Melintang daripada PKR S.Kesavan menafikan beliau keluar parti itu seperti yang didakwa melalui sepucuk surat yang dialamatkan kepada Speaker DUN Perak.
Menurut surat yang kononnya ditandatangani Kesavan, tindakan itu dilakukan selepas hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti berkenaan.
Oleh demikian, Devamany berkata beliau telah mengarahkan pembantu tadbir dan beberapa pegawainya membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
"Saya berharap insiden seperti ini tidak menimbulkan spekulasi negatif memandangkan kerjasama antara anggota DUN Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang ketika ini amat baik dalam usaha memajukan Perak," katanya.
Sementara itu, Kesavan turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pagi ini.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, katanya beliau mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan integritinya, parti serta DUN Perak walaupun tidak mengesyaki mana-mana pihak.
"Surat itu adalah satu fitnah terhadap saya, saya mahu pihak polis mengadakan siasatan lanjut terhadap pihak yang terlibat," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan