KAJANG - Nama saya tiada dalam senarai calon, tegas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekali gus menepis dakwaan dirinya bakal bertanding di pilihan raya kecil Dun Kajang.
Menurutnya, nama calon sudah disenaraipendekkan dan pengumuman bakal dibuat dalam masa terdekat.
“Nama calon sudah pun kita senarai pendekkan dan kita sudah buat soal selidik umum. Kita akan hantar nama tak lama lagi kepada pucuk pimpinan BN dan buat pengumuman selepas itu.
“Kita akan umum secepat mungkin. Sudah tiba masanya kita bergerak di peringkat akar umbi dan kita tahu bahawa penamaan calon pada 11 Mac, jadi kita ada masa untuk calon kita bergerak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Induk MCA PRK Dun Kajang, hari ini.
Menjawab pertanyaan pemberita soal namanya yang mungkin tersenarai sebagai calon, beliau menjelaskan secara ringkas bahawa namanya tiada dalam senarai.
“Bahagian sudah menghantar nama calon dan nama saya tak ada dalam senarai calon,” katanya.
Dalam pada itu, khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa hari ini menyebut Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun adalah calon yang bakal dipilih MCA untuk menawan Dun Kajang namun beliau enggan memberi sebarang komen.
Terbaru, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan bakal bertanding di PRK Dun Kajang, bulan depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan