ALOR SETAR - Peniaga diingatkan tidak ambil kesempatan menaikkan harga barang sempena pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 3.0 bermula 22 Februari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga menaikkan harga barang sesuka hati.
Beliau berkata, KPDNKK akan bertindak tegas tanpa sebarang amaran jika masih ada pihak tertentu cuba ambil kesempatan ke atas orang ramai.
“Sebelum ini kita selalu memberi amaran kepada peniaga tapi sekarang akan mengambil tindakan terus tanpa amaran,” katanya selepas melancarkan Program ‘1 Business One Student’ (1BOS) anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia (Perdasama), di sini, semalam.
Menurutnya, peniaga diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas bagi semua barang termasuk bukan kawalan.
“Kita sudah beri tempoh. Jika masih ingkar, mereka akan dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini harga barang naik disebabkan faktor cuaca menyebabkan bekalan kurang, tetapi kini keadaan kembali normal dan dan harga barang wajar ke paras biasa berbanding semasa Tahun Baharu Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan