Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh berkata, tindakan kumpulan NGO yang mencetuskan kebencian kaum dengan pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap Teresa, nyata memalukan Islam sendiri.
“Tindakan mereka itu jelas memalukan agama Islam.
“Islam tidak mengajar umatnya melakukan perkara sebegini. Islam mengajar kepada kebaikan, keamanan, toleransi dan menghormati sesama manusia,” katanya ketika ditemui mengiringi Teresa di Balai Polis Tun HS Lee.
Tegasnya, polis juga harus mengambil tindakan segera dan bukannya diam membisu seolah-olah memberi ruang kepada NGO itu untuk terus bergiat aktif menyebar kebencian.
“Apa yang dilakukan adalah satu kesalahan jenayah kerana mereka menawarkan ganjaran kepada individu yang sanggup menampar teresa.
“Polis perlu bertindak secepat mungkin, berdiam diri tidak menyelesaikan masalah,” ujarnya.
Ahli Parlimen PAS Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud juga menyokong dan menegaskan bantahan itu adalah tidak matang dan bercanggah dengan akhlak seseorang yang beragama Islam.
“Islam adalah agama kesejahteraan, jadi mereka yang membuat cercaan, tohmahan, fitnah dan provokasi terhadap Teresa serta pemimpin PR dianggap tidak layak menggelarkan diri mereka pembela Islam.
“Tindakan mereka itu di luar batasan undang-undang dan seolah-olah memperlekeh dan mencabar maruah pihak berkuasa.
“Saya juga kesal dan membantah terhadap apa saja aktiviti yang boleh menyebabkan perpecahan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” tegasnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan