Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain itu mereka menggesa orang bukan Melayu yang tidak mahir berbahasa Melayu supaya diusir keluar dari negara ini.
Beliau menganggap keberanian puak pro-UMNO mencetuskan provokasi jenayah adalah kerana amalan double-standard dan mempolitikkan pihak polis dan pejabat pendakwaan sehingga membenarkan kumpulan itu terlepas bebas tanpa sebarang tindakan sedangkan pihak pembangkang terus dimangsakan dengan kesalahan yang tidak mereka lakukan.
Beliau berkata, pihak polis mesti bertanggungjawab penuh di atas kegagalan menghindarkan ketegangan kaum, keganasan serta memastikan keselamatan Teresa Kok.
“DAP sangat bimbang akan keselamatan Teresa dan akan mengambil pelbagai langkah perlu dengan izin beliau untuk memastikan keselamatannya terpelihara.
“Bagaimanapun, tiada langkah keselamatan yang benar-benar berkesan apabila berdepan dengan puak perkauman dan fanatik yang akan melakukan apa sahaja untuk mendapat duit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
“Kumpulan pro-UMNO terbabit menyembelih empat ekor ayam dan melumurkan darahnya ke kain rentang yang memaparkan wajah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Teresa Kok dan saya sendiri Eng serta ADUN PKR Lee Khai Loon. Meskipun tindakan sedemikian serta aksi membakar patung pemimpin Pakatan Rakyat sudah boleh dianggap biasa, puak pro-UMNO ini mengambil langkah baru ke arah keganasan dan kebencian dengan menawarkan upah RM1,200 kepada sesiapa yang sanggup menampar wajah Teresa Kok dan merakamkan aksi itu,” katanya.
GUan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jelas sekali penyokong UMNO itu begitu berhajat membangkitkan kebencian dan ketegangan kaum demi menutup rasuah BN, kegagalan menguruskan ekonomi serta kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik TNB serta kadar premium insuran.
Cadangan menaikkan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini juga ditangguhkan ke tahun depan demi menyenangkan hati pengundi Kajang pada Pilihan Raya Kecil pada 23 Mac ini.
“Langkah berdiam diri pihak polis menyebabkan kumpulan lelaki pro-UMNO ini untuk terus memalukan hatta di peringkat antarabangsa menghina kesucian Islam dan orang Melayu, serta semua lelaki di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini.
“Tidak ada agama atau keturunan malah tidak ada lelaki sejati yang akan membiarkan tindakan mengasari seorang wanita.
“Sebagai seorang warganegara, saya memandang jijik tindakan penyokong UMNO ini, yang hanya menguatkan komitmen dan keyakinan saya bahawa UMNO dan BN mesti dihumban pada Pilihan Raya Umum akan datang,” tambahnya.
Katanya, sebagai seorang lelaki, beliau amat malu apabila seorang lelaki lain begitu bangga dan tanpa segan silu menyeru supaya seorang wanita ditempeleng demi upah wang ringgit.
Beliau berkata, lelaki sejati tidak akan memukul perempuan, dan keganasan seharusnya tidak dibabitkan dalam wacana umum dan lapangan politik.
“Seandainya gagal, demokrasi turut gagal dan Malaysia akan jatuh merudum ke arah pemerintahan bercorak diktator dan membentuk masyarakat yang tidak bertamadun.
“Bagi menunjukkan betapa marahnya DAP terhadap tindakan melampau penyokong UMNO ini,
wakil rakyat DAP akan membuat laporan polis di seluruh negara. Meskipun DAP tidak mengharapkan sebarang tindakan oleh pihak polis, sebaliknya DAP mahu membangkitkan kesedaran awam untuk mengecam ketegangan kaum yang cuba dibangkitkan penyokong UMNO serta melindungi Teresa Kok daripada menjadi mangsa keganasan,” katanya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan