SHAH ALAM: Mana-mana pihak yang tidak mendapat tauliah daripada Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dibenarkan untuk menyampaikan khutbah
Jumaat dan tazkirah di masjid, demikian menurut Ahli Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) Datuk Aidit Ghazali.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tentang tindakan
kedua-dua badan agama tersebut yang cuba menghalang program kempen Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebuah masjid Kajang Jumaat
lalu.
Menurut sumber yang dipetik sebuah portal, Anwar dan Ketua Penerangan
PKR, Dr Muhd Nur Manuty yang dijadualkan memberi tazkirah dan khutbah di
Masjid Batu 10, telah dihalang berbuat demikian kerana campur tangan
MAIS dan JAIS.
"Kalau JAIS dan MAIS bertindak, kami tak bertindak memilih bulu. Tetapi
kami akan bertindak berdasarkan sesiapa kalau langgar undang-undang,
termasuk melanggar dan derhaka titah Sultan sebagai ketua agama, maka
kami laksana berdasarkan apa yang diamanahkan ke atas kami.
"Kalau sesiapa yang terasa bahawa dia ini seolah-olah jadi sasaran MAIS
dan JAIS, pada saya ini ialah mungkin kerana dia makan cili, dia terasa
pedas.
"Kalau katakan di MAIS dan JAIS sudah tetapkan bahawa orang yang tidak
bertauliah tidak boleh masuk ke dalam masjid dan surau bawah pentadiran
MAIS dan JAIS untuk berceramah dan berkhutbah, takkan kita nak kata
orang yang buat salah ini kita 'special' sikit. Mana boleh begitu,"
jelasnya kepada Antarapos.
Malah menurut surat yang pernah dikeluarkan JAIS pada tahun 2010, nazir
yang dilantik tidak dibenarkan sewenang-wenangnya memberi individu dari
luar yang tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan
ia jelas melanggar arahan MAIS.
Tambah Aidit lagi, kedua-dua badan tersebut melaksanakan tindakan
setiap masa dan tidak tertumpu sewaktu kempen pilhan raya sahaja.
Oleh itu katanya, pihak yang 'berfikiran sempit' dilihat cuba mengambil
kesempatan ini mengaitkan tindakan JAIS dengan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dun Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi dan menampakkan
seolah-olah merekalah 'mangsa' demi meraih simpati rakyat.
"Jadi tak timbul persoalan kita ini seolah-olah terikat dan terbabit
pada kempen. Kita melaksanakan tugasan secara konsisten sejak wujudnya
JAIS dan MAIS.
"Apabila kebiadapan pihak tertentu bertambah, apabila mereka ini berani
derhaka dan khianat, berani mencabar titah tuanku, berani mempersoalkan
enakmen pentadbiran agama, berani mengatakan fatwa hanya untuk orang
Islam dan tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.
"Berani langgar keputusan mahkamah, berani mencabar Perlembagaan
Persekutuan bersabit kedudukan Islam dan umatnya, apakah agensi seperti
MAIS dan JAIS kena bersifat dayus? Tentu sekali tidak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan