Izmil Amri
Justeru Islam, sebagai agama keamanan dan mendidik akhlak, jelas sekali melarang lelaki daripada bertindak kasar terhadap wanita.
Lelaki yang mengasari wanita, bahkan yang mengancam untuk menggunakan kekasaran ke atas wanita adalah lelaki yang bacul. Ini semua orang tahu. Sesiapa pun yang mengasari perempuan pastinya akan dilihat seolah-olah syaitan bertopengkan manusia. Tidak kira apa alasan sekalipun, perempuan tidak wajar dikasari. Baik dengan tutur kata atau kerja buat serta perlakuan fizikal.
Tuhan mencipta perempuan supaya disantuni. Bukan untuk dikasari, diherdik atau dicaci maki. Tanpa perlu dipertimbangkan apa jua latar belakang keturunan, agama, pendidikan, perempuan tetap perempuan. Dia mungkin isteri seseorang atau adik, kakak dan ibu kepada seseorang.
Maka perempuan tidak boleh dikasari. Ini asas yang jelas nyata. Tidak ada lelaki yang waras akalnya suka melihat titis air mata wanita. Lelaki yang sentiasa dahaga dan giat memakan air mata wanita itu ialah lelaki yang dayus, pengecut dan punya kebarangkalian besar tidak mempunyai organ kejantanan yang mencukupi.
Justeru ketika dikhabarkan bahawa ada segerombolan lelaki beriya-iya mahu mengasari seorang wanita, saya jadi hairan. Tambah hairan kerana gerombolan lelaki ini (kalau iya pun boleh dipanggil lelaki) tidak bertindak mahu mengasari wanita ini secara sendiri. Malah ia mahu memberi upah pula kepada lelaki lain untuk mengasari wanita yang satu ini.
Saya cuma ada dua persoalan untuk gerombolan manusia ini. Pertama, adakah mereka ini semuanya biasa menempeleng isteri atau anak perempuan masing-masing dan merasakan pekerjaan mengasari wanita itu seakan-akan satu hobi? Soalan kedua, adakah kegemaran mereka mengasari isteri dan wanita dalam keluarga mereka itu turut disumberluarkan kepada pihak ketiga dengan diberikan imbuhan bayaran tunai?
Ya ini soal sekumpulan lelaki pertengahan usia yang berkumpul ramai-ramai menawarkan wang kepada sesiapa yang boleh pergi menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan merakamkan video perlakuannya.
Adakah diri sendiri tidak punya bilangan testis yang mencukupi untuk melakukan kekasaran terhadap wanita terbabit, sehingga terpaksa mengupah pihak lain pula? Sudahlah mahu diupah, jumlahnya juga tidak seberapa. Setakat RM500, BR1M jauh lebih tinggi jumlahnya. Lalu tergesa-gesalah dinaikkan jumlah imbuhan itu menjadi RM1,200.
RM1,200 untuk berlaku kasar terhadap seorang wanita. Lelaki malang manalah yang akan sanggup buat kerja terkutuk ini? Kerja mengasari seorang wanita demi habuan wang ringgit. Ini tidak banyak beza dengan pekerja seks yang sanggup buat apa sahaja asalkan kena dengan bayarannya. Malah sama sahaja seperti kaki pukul ala cumi dan ciki yang diberi upah ‘mengajar’ mana-mana perampas kekasih orang.
Apakah umat ini sudah begitu terdesak dan bankrap maruah dan harga diri sehingga sanggup mahu menjadi pecacai untuk mengasari seorang perempuan demi RM1,200.
Islam tidak mengajar perlakuan sebegini. Jadi janganlah menggunakan nama agama untuk memberi justifikasi kepada kebaculan kamu. Tambah menghina Islam ialah selepas menawarkan imbuhan wang untuk mengasari wanita, kumpulan melaungkan takbir. Eh, agama apa yang ajar kamu mengasari wanita dan melaungkan nama Tuhan ni?
Seandainya Rasulullah masih ada, pastilah kamu ditempelengnya terlebih dahulu.
Apa yang Islamiknya tentang menawarkan wang supaya seseorang mengasari wanita? Ada dalilkah yang menghalalkan perbuatan sebegini?
Apa asas yang melahirkan kemarahan yang begitu membuta tuli sampai buat kain rentang pun tak periksa ejaan. Eja ‘cauvinis’ pun salah, malah saya syak gerombolan pakcik ini yang begitu bersemangat melumur darah ayam ke kain rentang dengan gambar pemimpin DAP tidak tahu pun apa makna perkataan cauvinis.
Yang dia tahu, ‘DAP cauvinis Cina’. Tidak ia sedar bahawa dia itu cauvinis Melayu.
Ya cauvinis itu ertinya: Kepercayaan yang patriotik, berlebihan, dan membuta tuli dalam keunggulan dan keberanian nasional. Atau dalam bahasa Inggerisnya: Chauvinism, in its original meaning, is an exaggerated patriotism and a belligerent belief in national superiority and glory.
Nah sekarang siapa cauvinis?
Bagaimanapun kita seharusnya ucap terima kasih kepada mereka ini. Pekerjaan yang diperbuat oleh gerombolan ini memudahkan lagi usaha untuk menambahkan rasa benci dan meluat terhadap politik perkauman yang menjadi tunjang United Malays National Organisation. Ya, parti UMNO pastinya akan menjauh daripada segala kegilaan ini.
UMNO, sepertimana gerombolan lelaki pertengahan usia tadi memang kerjanya sub-contracting dan menyumberluar perkara yang ia tidak berani lakukan sendiri.
Tetapi malang bagi parti pemerintah ini, dunia sudah kian maju dan ini sudah masuk bulan kedua tahun 2014. Tahun 1969 itu sudah begitu jauh dan tidak lagi menjadi suatu faktor ketakutan malah sekadar memori yang mahu dilupakan. Jadi rakyat akan pastinya boleh menilai kekalutan yang melanda negara ini, siapa yang punya angkara.
Jadi terima kasihlah, mudah kerja Pakatan Rakyat nak menang pada Pilihan Raya Kecil Kajang nanti. Buatlah lagi selalu. Mudah-mudahan impian ke arah negara aman makmur dan bangsa yang berpadu itu boleh pakat dikuburkan bersama-sama sambil menyambut 2020 nanti. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan