Ahad, 16 Februari 2014

Bomba terima 12 kes kebakaran hutan sejak Januari

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 kes kebakaran hutan dilaporkan di seluruh negara melibatkan keluasan 514.8 hektar sejak Januari tahun ini sehingga semalam.
  
Penguasa Kanan Bomba I, Pusat Pengurusan Operasi Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Yusri Basir berkata sejumlah 425 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dengan seramai 382 anggota bomba, termasuk orang awam mengawal kebakaran daripada merebak.

"Pahang mencatatkan jumlah kes kebakaran terbanyak iaitu lima kes membabitkan keluasan kebakaran 23.8 hektar. Antara kawasan terlibat adalah Ladang Sungai Endau dan hutan di Kampung Raja.
  
"Terengganu pula mencatatkan keluasan kebakaran tertinggi iaitu 384.5 hektar melibatkan kebakaran tanah gambut di Kampung Bahagia, Tok Kah di Dungun sejak 25 Jan lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
  
Beliau berkata jenis kebakaran yang dikenal pasti meliputi kebakaran ladang, hutan, tapak pelupusan sampah, paya gambut dan juga bukit dan sebanyak 27 pam air serta 36 buah jentera digunakan untuk memadamkan kebakaran.
  
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.
  
Selain itu JAS juga mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.
  
JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.
  
Mana-mana pihak yang melakukan kebakaran terbuka boleh didenda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – Bernama

Tiada ulasan: