Jumaat, 12 April 2013

Rintihan anak peneroka Felda

Roketkini.com,


BENTONG: “Hidup anak peneroka dan generasi kedua Felda ini ibarat pepatah yang mengatakan ‘kais pagi, makan pagi.” Demikian mengikut seorang penduduk Felda Kg Sertik, Zulkifli Mohd.

Oleh kerana pembahagian tanah peneroka yang kerap tidak adil dan tidak mengikut prosedur kepada generasi kedua peneroka Felda seperti di Felda Kg Sertik, ramai generasi kedua terpaksa mencari nafkah dengan membuat kerja sambilan di ladang pekebun lain dan merantau.

“Ramai daripada kami terpaksa merantau ke bandar untuk bekerja atau berniaga,” katanya.

Untuk menampung hidup, Zulkifli, 56, terpaksa bekerja sebagai penoreh getah di ladang kawannya tetapi harga getah sekarang sudah jatuh, upah pun kurang.

Beliau bersama dua anak dan isterinya hidup melarat di rumah sewanya yang lebih mirip rumah setinggan.

“Ketika hujan lebat, air hujan mencurah turun dari bumbung rumah kami beratap zing yang bocor. Kami tadahnya dengan tong plastik.

“Dinding rumah kami juga sudah pecah dan berlubang, air hujan juga akan meresap masuk. Tak ada wang untuk membaikinya,” katanya.

Dalam tinjauan, kami dapati katil rumah beliau dilapik dengan bata.

Katanya, beliau tidak mampu lagi membayar sewa rumah kepada pemilik sejak setahun lalu.

“Saya sudah banyak kali memohon tanah dengan pejabat tanah daerah dan Felda iaitu sejak tahun 1980-an lagi untuk mengusahakannya tetapi tidak berhasil,” tambahnya.

Beliau berkata, kerap kali anak peneroka Felda generasi pertama berkelahi sesama sendiri kerana berebut tanah yang sekangkang kera pusaka tinggalan peneroka generasi pertama.

“Kami (selaku anak kepada peneroka) juga banyak menyumbang kepada pembangunan negara dengan titik peluh usaha kami mengerjakan ladang Felda.

“Kenapa pula bila kami meminta tanah yang masih banyak lagi di sekitar kawasan kami ditolak sewenang-wenangnya.

“Kroni pemimpin Umno tempatan pula dengan senangnya memperoleh tanah.

“Apakah Najib percaya dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 itu akan mengubah nasib hidup kami yang melarat ini.

“Saya harap Pakatan Rakyat akan melakukan sesuatu untuk memastikan kehidupan generasi kedua peneroka Felda akan dijaga dan dibela sebaiknya,” kata beliau.

Dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan 25 Februari lalu, Pakatan Rakyat berjanji akan merombak semula pegangan dalam Felda Global Venture (FGV) dengan matlamat mengembalikan operasi dan pemilikan tanah Felda ke tangan peneroka dan kakitangan.

Tiada ulasan: