Oleh Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) akan bekerjasama dengan NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) untuk memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 lancar serta aman.
Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemantauan khusus terhadap media massa akan dijalankan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan untuk kegunaan kempen parti politik tertentu.
“Pemantauan juga merangkumi untuk tiga tempoh iaitu penamaan calon, berkempen dan pada hari pembuangan undi.
“Setakat ini, Mafrel sudah bermesyuarat dengan beberapa NGO yang turut membantu memastikan situasi selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) berjalan lancar.
“Dari semasa ke semasa, Mafrel akan menjelaskan sebarang situasi yang berlaku,” jelas Syed Ibrahim kepada Keadilan Daily.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan antara isu paling hangat menjelang pilihan raya adalah berkempen sebelum tempoh itu dimulakan.
“Sebelum ini kempen secara terang-terangan berlaku di beberapa kawasan dan tindakan itu menyalahi undang-undang pilihan raya,” kata Syed Ibrahim.
Menurutnya, masalah ini akan diatasi melalui mekanisme pembendungan dengan kerjasama pasukan keselamatan, kumpulan pemantau dan ejen mengundi, mengira undi dan bilik mengundi (Pacaba).
Beliau turut menggesa agar setiap parti yang bertanding mengamalkan etika pilihan raya yang adil dan bebas serta melindungi hak pemilih dengan membenarkan mereka menentukan undi secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihan raya.
“Dalam konteks ini, peranan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan polis amat diperlukan bagi menjaga keseimbangan proses pilihan raya,” katanya. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan