Sabtu, 13 April 2013

Isu video seks: Hadi solat Hajat

MOHD AZLIM ZAINURY

Isu video seks: Hadi solat Hajat
Abdul Hadi bersalam dengan orang ramai termasuk kanak-kanak yang menunggu di luar Masjid Rusila selepas berakhir kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam.
 
MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengadakan solat Hajat sendirian dalam masa terdekat bagi memohon petunjuk ALLAH SWT berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Beliau turut kesal dengan amalan politik fitnah sebagai kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerana rakyat perlu ditampilkan dengan pilihan politik sihat serta hujah-hujah politik rasional.

Menolak keras budaya buruk itu, Abdul Hadi berkata, perkara seumpama itu bukan sahaja tidak elok dan juga berdosa, malah bukan salah satu cara yang diajarkan dalam Islam.

“Budaya fitnah ini bukan satu cara ajaran kita. Bukan sahaja mereka yang terlibat dalam pengedaran video cakera padat itu, tetapi termasuklah semua pihak.

“Dua-dua pihak jangan (melakukan politik kotor). Jangan ambil peribadi orang,” katanya ketika ditemui selepas berakhir kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, semalam

Beliau berkata, perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan Pas yang dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti kerana banyak lagi perkara lain perlu dibuat ketika ini.

“Kita (Pas) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu).

“Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala,” katanya.

Katanya, Pas berserah kepada Tuhan untuk memberikan petunjuk dan setakat ini, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab membuat fitnah itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut menyifatkan cerita Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din keluar parti sebagai khabar angin dan menegaskan, veteran Pas itu akan bertanding di kerusi Parlimen Arau, Perlis pada PRU13 ini.

Tiada ulasan: