Rabu, 17 Oktober 2012

SPRM lepaskan Musa Aman?

Roketkini.com

KUALALUMPUR: SPRM dibidas kerana mengambil masa lebih dari empat tahun bagi menyiasat pengubahan wang secara haram bernilai RM40 juta yang kemudiannya didakwa bukan untuk Ketua Menteri Sabah Musa Aman, tetapi UMNO negeri itu.

Pun begitu, hasil siasatan SPRM tersebut  bertentangan dengan laporan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) yang melaporkan bahawa wang RM40 juta itu sebenarnya untuk Musa.

Malah menurut ICAC, ia juga sebahagian daripada dana yang lebih besar yang telah didepositkan ke dalam akaun bank Swiss melibatkan amaun US$30 juta yang dikatakan dipegang oleh seorang peguam mewakili Ketua Menteri Sabah.

Dengan bebasnya Musa dari “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” oleh SPRM, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya berkata, keputusan agensi pencegah rasuah berkenaan telah menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.

“Mengapa SPRM menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan apabila “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” dan kenapa SPRM mengambil masa lebih daripada empat tahun untuk menemui bahawa tiada kes rasuah terhadap Musa Aman?” soalnya.

Lebih menimbulkan tanda-tanya jelas Kit Siang ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri enggan mendedahkan identiti penderma RM40 juta dana hasil pengubahan wang haram yang diseludup.

“Adalah menyedihkan apabila SPRM yang baru sahaja menjadi tuan rumah Persidangan ke-6 dan Mesyuarat Agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa telah membiarkan dirinya diperbodoh di peringkat antarabangsa,

“Sekiranya (kes sebegini berlaku) di negara lain, ketua agensi anti-rasuah mereka akan meletakkan jawatan sebagai protes kerana dihina dan dimalukan sedemikian rupa.” Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Menyifatkan kes ini sebagai “kegagalan dahsyat” SPRM, Kit Siang melontarkan persoalan samada adakah SPRM boleh pulih dari menjadi salah satu agensi anti-rasuah paling tidak cekap di dunia.- Roketkini.com

Tiada ulasan: