Kerajaan sekali lagi digesa untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dengan segera bagi menyiasat sumbangan derma sebanyak RM40 juta oleh seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.

Setiausaha Penganjur Angkatan Perubahan Sabah (APS) Datuk Kalakau Untol berkata, ia perkara yang betul dan patut dilakukan oleh kerajaan demi menjernihkan keadaan.

Jelas beliau, RCI satu-satunya cara untuk mengenal pasti kebenaran di sebalik isu sumbangan wang tersebut yang hangat diperdebatkan.

"Isu ini kini sedang diperdebatkan dengan meluasnya oleh orang-orang awam. Penjelasan daripada pemimpin-pemimpin Umno tidak lagi membawa makna," katanya.

Pada Ogos 2008, usahawan Sabah Michael Chia didakwa ditahan pihak berkuasa Hong Kong apabila hendak menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur bersama wang tunai AS$16 juta (RM40 juta).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada 22 Oktober lalu bagaimanapun menegaskan bahawa Chia tidak pernah ditangkap di Hong Kong oleh badan antirasuah negara itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Kalakau berkata, pengakuan bahawa wang itu merupakan sumbangan terhadap parti menunjukkan "suatu bentuk rasuah di peringkat dasar dilakukan oleh organisasi yang besar".

"Terdapat banyak persoalan yang ditimbulkan oleh ramai pemimpin politik yang tidak terjawab.

"Rakyat benar-benar ingin tahu perkara sebenar di sebalik wang sumbangan ini, dan penderma yang terlibat," kata beliau lagi.

Sebelum ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang turut menggesa kerajaan agar RCI ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyeludupan dana asing oleh Umno, terutamanya berhubung "sumbangan politik" RM40 juta itu.