Rabu, 31 Oktober 2012

Wang hantaran deejay Hot FM Terengganu lesap

RUBIAH OMAR
Wang hantaran deejay Hot FM Terengganu lesap
Bell menunjukkan tempat dia menyimpan sampul surat berisi wang hantaran perkahwinannya. 
 
KUALA TERENGGANU-  “Wang yang disamun itu bakal saya jadikan wang hantaran perkahwinan yang akan berlangsung pada 10 November depan.”

“Saya kini pening memikirkan untuk mencari wang gantian bagi meneruskan majlis perkahwinan ini dengan pasangan saya iaitu Durani Hanum Yusof, 26, kerana masa agak suntuk,” demikian luahan seorang penyampai radio Hot FM Terengganu, Mohd Hermansani Aminudin, 29, atau lebih dikenali sebagai Bell.

Wang hantaran perkahwinan Bell yang bernilai RM5,000 telah lesap dilarikan dua lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dalam satu kejadian samun di Jalan Pusara, di sini, awal pagi tadi.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, Bell berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, semasa dia dalam perjalanan pulang dari sebuah bank di bandar raya ini untuk ke sebuah warung di Jalan Kamaruddin, di sini, dengan memandu kereta.

“Sebelum kejadian, saya telah ke sebuah bank untuk mendepositkan wang hantaran perkahwinan ini namun sebaik tiba di bank terbabit, saya mendapati sudah tutup.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk singgah di sebuah warung di Jalan Kamaruddin dengan menggunakan jalan pintas itu iaitu di Jalan Pusara, di sini,” katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, semasa tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kereta dipandunya telah dipotong oleh sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum penunggang itu menjatuhkan motosikal di hadapan keretanya.

“Pada mulanya, saya menyangkakan yang saya telah terlanggar mereka berdua lalu terus memberhentikan kereta dengan niat untuk membantu dan meminta maaf.

“Bagaimanapun sejurus keluar dari kereta, saya diserang oleh kedua-dua lelaki itu dengan salah seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau lipat ke arah perut saya manakala seorang lagi menyelongkar di dalam kereta sebelum mengambil sampul surat tertera tulisan ‘wang hantaran perkahwinan’,” katanya.

Jelasnya lagi, sejurus mengambil sampul surat itu, salah seorang suspek telah membuka pintu belakang kereta lalu menolaknya ke dalam sebelum melarikan diri.

Menceritakan lebih lanjut Bell berkata, sejak dari awal bulan lalu lagi semasa pulang dari tempat kerja dia mengesyaki seseorang mengekorinya, namun apabila dimaklumkan kepada rakan setugas, rakannya itu dengan nada bergurau memberitahu individu terbabit berkemungkinan peminatnya.

“Jadi, saya tidak mengendahkan sangat semua itu dan saya tidak mahu menuduh sesiapa. Saya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis sepenuhnya untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, dua suspek berkenaan menggunakan sarung tangan, helmet dan penutup muka telah mengacukan sebilah pisau lipat sebelum menyamun mangsa.

“Kami kini sedang memburu kedua-dua suspek itu dan kes berkenaan kini akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan merompak,” katanya.

Tiada ulasan: