Parti juga menganggap ia untuk melaga-lagakan Nik Aziz dan Haron Din
PETALING JAYA: PAS menolak wujud perbezaan pendapat antara Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Harun Din, serta menganggap Umno menggunakan bekas pemimpin PAS untuk menyerang parti itu.
“Umno telah menggunakan orang ini (bekas pemimpin PAS) kerana bimbang dengan kebangkitan sokongan rakyat kepada PAS.
“Malangnya mereka ini tidak berada dalam PAS dan kerana itu dia tidak mengetahui apa yang berlaku dalam parti,” kata Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menambah, Majlis Syura PAS adalah keputusan bersama dan bukannya oleh Nik Aziz seorang.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan bekas pemimpin PAS itu juga merupakan satu serangan untuk melaga-lagakan Nik Aziz dan Haron.
Dua bekas Naib Presiden PAS - Datuk Hasan Ali dan Datuk Nakhaei Ahmad – berkata kerjasama dengan DAP tidak menguntungkan parti Islam itu.
Hasan yang dipecat PAS awal tahun ini menuntut supaya Nik Aziz Nik menyerahkan jawatan Mursyidul Am kepada Haron.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, PAS tidak mahu melayan tuntutan bekas-bekas pemimpinnya itu.
“Pihak luar tidak perlu campur tangan. Kepimpinan mereka (Nik Aziz dan Haron Din) masih baik, masih relevan dan masih perlu.
“Jawatan-jawatan ini ditentukan oleh parti (PAS)…pihak luar tidak perlu campur tangan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan