Oleh Liew Chin Tong
Kesusahan yang dirasai bersama di antara DAP, PAS dan pemimpin-pemimpin masyarakat sivil pada tahun 1987 secara ironinya membentuk azam kuat untuk perubahan dan keakraban yang erat untuk melihat ianya tercapai.
Hari ini 25 tahun yang lalu, iaitu pada 27 Oktober 1987, adalah tarikh berlakunya salah satu titik hitam sejarah Malaysia apabila 106 ahli politik dan aktivis sosial ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang. Manakala permit cetakan tiga suratkhabar iaitu The Star, Sinchew dan Watan pula ditarik balik.
Tindakan keras pihak berkuasa mengejutkan seluruh negara serta menandakan berakhirnya fasa pertama kepimpinan Tun Dr Mahathir Muhamad sejak tahun 1981 yang bergolak dan sering disalah anggap sebagai demokratik. Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn dengan sokongan yang lemah di dalam Umno dan hampir tiada sesiapa untuk dipercayai.
Dengan meletakkan Musa Hitam bertanding menentang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno untuk tahun 1981 dan 1984, Dr Mahathir berjaya melengah-lengahkan masa dan memberikannya ruang. Tetapi semua perbuatannya itu melantun kembali pada 1987 apabila Tengku Razaleigh berkerjasama dengan Musa untuk mencabar gabungan Dr Mahathir-Ghafar Baba.
Pemilihan pada 24 April memperlihatkan kekalahan Tengku Razaleigh kepada Dr Mahathir dengan hanya 43 undi, selepas berlakunya insiden terputus bekalan elektrik yang meragukan di pusat kiraan undi.
Umno terus dalam keadaan gelabah selepas pemilihan parti, dengan legitimasi Dr Mahathir telah benar-benar tercalar. Penyingkiran penyokong Team B yang terdiri daripada Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Shahrir Samad dan Radzi Sheikh Ahmad daripada kabinet dan kerajaan menambah ketidakstabilan keadaan ketika itu.
Sekalipun sokongan terhadapnya adalah lemah, gaya pemerintahan Dr Mahathir tidak gemar mengamalkan perundingan. Tambahan pula, berbagai-bagai ide yang beliau paksakan yang selalunya tidak begitu masak, menyebabkan skandal kewangan yang besar dan pelbagai; hanya dalam tempoh beberapa tahun pemerintahannya. Muncul aktivisme masyarakat sivil di kalangan penduduk bandar yang kritis dan tajam pemerhatian.
Gerakan kebangkitan Islam telah lahir sebagai tempat berkumpulnya orang-orang yang benci dengan sikap materialistik mahu kaya cepat Umno.
Selain itu, Dr Mahathir bukan sahaja melaga-lagakan pemimpin-pemimpin Umno, beliau juga mempergunakan sentimen kaum terhadap satu sama lain. Pada Oktober 1987, pejuang pendidikan Cina bergerak menentang dasar yang meletakkan guru yang tidak fasih berbahasa Mandarin untuk mengetuai sekolah Cina. Sebagai tindak balas Pemuda Umno dikerahkan untuk mengapi-apikan sentimen Melayu.
Di antara bulan April sewaktu pemilihan Umno dan bulan Oktober, pentadbiran Mahathir bergerak tanpa hala tuju jelas apabila lawannya di dalam parti telah pun memulakan kempen untuk menjatuhkannya pada pemilihan parti tiga tahun berikutnya.
Keretakkan semakin jelas dan suasana semakin tegang.
Pada 18 Oktober, berlakunya kejadian amuk dengan senjata M16 oleh Prebet Adam di Chow Kit sedang Pemuda Umno merancang untuk sebuah perhimpunan pada 1 November bagi mempamerkan kekuatan mereka.
Dr Mahathir menyambar peluang yang tepat pada masanya. Pada 27 Oktober, Ops Lalang dilancarkan untuk menahan pengkritiknya yang paling lantang termasuklah Ketua Pembangkang ketika itu, Lim Kit Siang dan 16 wakil rakyat DAP. Bukan sahaja Dr Mahathir melumpuhkan pembangkang, beliau menakut-nakutkan negara dan yang lebih penting, musuhnya di dalam Umno. (Dalam skala yang lebih kecil, hampir sama dengan penahanan aktivis Reformasi pada April 2001 yang bertujuan menghidupkan semula kekuasaan Dr Mahathir selepas pentadbirannya terjejas selama setengah tahun, selepas kekalahan ketika Pilihan Raya Kecil di kawasan berbilang kaum Lunas pada 21 November 2000)
Suku abad kemudian, sambil kita melihat kembali kem tahanan besar-besaran 1987 Dr Mahathir di kala terlihat sebuah peluang besar untuk perubahan kerajaan, boleh dirasakan semacam satu keadilan puitis apabila Operasi Lalang nampaknya telah “meyatukan” penentang-penentang Barisan Nasional dan memberikan mereka azam yang kuat untuk menentang habis-habisan.
Lim Guan Eng, Mat Sabu dan ramai lagi merupakan aktivis muda pada waktu itu, di saat parti-parti pembangkang dan pelbagai gerakan menentang Barisan Nasional atas tujuan yang berbeza dan seringkali bercanggah sesama sendiri.
Tetapi di Kamunting, tidak kira demi apa pun perjuangan mereka, mereka ditahan di sebalik tirai besi sebagai manusia dan rakyat Malaysia. Mereka mula sedar bahawa Barisan Nasional menuai hasil lumayan daripada ketegangan kaum dan agama untuk menghancurkan musuh politiknya.
Perikatan pemerintah mengawal sumber-sumber media untuk menetapkan agenda berpihak kepada golongan berkuasa. Dengan sumber kewangan yang melimpah ruah serta undang-undang drakonian BN, pembangkang dipecahbelahkan dan ditakluk. Satu-satunya cara untuk membebaskan diri daripada semua itu adalah dengan mencari titik persamaan dan berjuang untuk pendemokrasian politik.
Ini adalah salah satu sebab yang harus diberi perhatian dalam mengenang Oktober 1987. Itu beserta kesengsaraan mereka yang ditangkap dan kesedihan keluarga mereka, yang tidak merana dengan sia-sia.
Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan