Rabu, 17 Oktober 2012

Laporan Ketua Audit Negara, Pulau Pinang catat prestasi baik

roketkini.com



KUALA LUMPUR : Pulau Pinang mencatatkan peningkatan hasil kutipan kerajaan negeri yang memberangsangkan berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan semalam dengan catatan kenaikan hasil mendadak sebanyak 46.8 peratus yang mewakili RM192.19 juta menjadikan jumlah kutipan tahun 2011 sebanyak RM602.89 juta.

Peningkatan cemerlang ini dilihat hasil dari pelaksanaan dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu yang mengamalkan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabel dan Telus dalam urus tadbirnya.

Prestasi pengurusan kewangan juga telah menunjukan pencapaian cemerlang Jabatan Kewangan negeri dalam mengurus hal-ehwal kewangan negeri. Demikan menurut laporan tersebut.

Manakala itu, kutipan hasil Kerajaan Negeri telah menunjukkan pertambahan dari setahun ke setahun.
“Kutipan hasil negeri pada tahun 2007 ialah sejumlah RM295.86 juta,telah meningkat dengan ketara sejumlah RM307.03 juta atau 103.8 peratus menjadi RM602.89 juta pada tahun 2011.

Menurut laporan tersebut, bagi tahun 2007 hingga tahun 2011, penyumbang utama hasil kerajaan negeri adalah daripada kutipan Cukai Tanah, Premium Tanah-Pemberian Hak Milik dan Faedah dari Wang Simpanan Tetap.

Ketua Audit negara telah merumuskan secara keseluruhannya, kedudukan kewangan Kerajaan
Negeri Pulau Pinang pada akhir tahun 2011 adalah baik berbanding tahun 2010.

“Pada tahun 2011, Kumpulan wang disatukan mengalami peningkatan berjumlah RM2.56 juta atau 0.2% kepada RM1,133.74 juta berbanding RM1,131.18 juta pada tahun 2010.

“Baki Akaun Hasil yang disatukan pada 31 Disember 2011 telah bertambah dengan jumlah RM138.31 juta atau 24.2% menjadikannya berjumlah RM710.81 juta berbanding RM572.49 juta pada tahun 2010.” katanya.

Ketua Audit Negara turut mengesyorkan agar Kerajaan Negeri mengekalkan prestasi menambahkan kutipan hasil dan mengekalkan perbelanjaan berhemat bagi memastikan kedudukan kewangannya cemerlang.

“Kerajaan Negeri disyorkan terus berusaha mengutip tunggakan hasil yang berjumlah RM77.84 juta pada akhir tahun 2011 yang terdiri dari pada cukai tanah,bayaran balik pinjaman penuntut, ansuran atau sewa rumah kedai serta hasil-hasil lain.” ujar Ketua Audit Negara.-roketkini.com

Tiada ulasan: