Jumaat, 26 Oktober 2012

Dakwa PKNS Jual Aset, Noh ‘Naif’ Hal Urus Korporat




SHAH ALAM, : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa untuk memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rakyat Selangor kerana mendakwa PKNS mahu menjual lima asetnya pada harga RM321 juta.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, dakwaan Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu jelas membuktikan bahawa beliau tidak mahir selok belok urus tadbir korporat.

Beliau berkata, tindakan Noh itu juga adalah sesuatu yang memalukan kepada Umno-BN kerana memliki menteri kabinet yang ‘naif’ tentang hal ehwal korporat.

“Bagaimanakah seorang menteri peringkat Persekutuan boleh menerima bulat-bulat maklumat yang diberikan tanpa membuat kajian? Jika inilah calon Menteri Besar yang dibanggakan Umno-BN, tidak mustahil Negeri Selangor akan jatuh bankrap kerana menteri besarnya berfikiran cetek dan dangkal.

“Noh patut merasa malu kerana tuduhan terhadap PKNS ternyata palsu. Saya percaya Mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo dan koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed pasti senyum sinis dan bertepuk tangan melihat ‘kecerdikan’ Noh ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kelmarin, Noh mencabar Kerajaan Negeri Selangor untuk menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjual lima aset bernilai RM321 juta.

Beliau mendakwa, aset-aset terlibat yang dikatakan bakal dijual ialah Menara PKNS Petaling Jaya (RM90 juta), Shah Alam Convention Centre (SACC) (RM93 juta), Kompleks PKNS Shah Alam (RM88 juta), Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

Mengulas lanjut, Faekah berkata, kesemua aset komersial yang dimaksudkan Noh masih kekal milik PKNS.

Menurutnya, PKNS ketika ini sedang dalam proses menyelaras aktiviti-aktiviti teras Kumpulan PKNS di mana salah satu inisiatif korporat yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan syarikat milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company atau PREC.

Jelasnya, syarikat itu akan memfokuskan kepada bidang pelaburan dan pengurusan hartanah dan secara jelasnya kelima-lima aset komersial tersebut dipindah milik kepada PREC.

“Sebagai menepati urustadbir korporat yang telus, penubuhan anak syarikat ini (PREC) dan pindah milik aset-aset komersil PKNS kepada PREC telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kewangan dan Lembaga Pengarah PKNS.

“Untuk makluman Noh, jawatankuasa ini turut diwakili Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri. Bahkan pihak Kementerian Kewangan juga telah memberikan kelulusan bertulis untuk proses pindah milik.

“Noh perlu belajar lebih gigih lagi hal ehwal urustadbir korporat sekiranya beliau mahu kelihatan relevan untuk berada dalam senarai calon Menteri Besar BN,” katanya lagi.

Tiada ulasan: