Rabu, 31 Oktober 2012

Chua membisu, Pemuda PAS mahu menghadap Agong

 
Satu gerakan himpunan besar-besaran sedang diatur ke Istana Negara dan menghantar memorandum meminta supaya Yang DiPertuan Agong campur tangan dalam isu ini.



PETALING JAYA: Selepas seminggu gesaan supaya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta maaf kepada umat Islam kerana menghina hudud dipandang sepi, Pemuda PAS merancang untuk menyerahkan isu ini kepada Yang DiPertuan Agong.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya kini sedang mengatur satu gerakan himpunan besar-besaran ke Istana Negara dan menghantar memorandum meminta supaya Agong campur tangan dalam isu ini.

Tindakan itu dilakukan selepas Pemuda PAS, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan NGO Jingga 13, serta 150 penyokong mengadakan perhimpunan aman di hadapan Wisma MCA 24 Oktober lalu menggesa Chua memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam dan menarik balik kenyataannya sebelum ini.

“Bagi kami, sudah sampai masanya untuk Yang Di Pertuan Agong mengetahui tindakan MCA yang berulang kali telah menghina Islam selaku agama rasmi di dalam perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Pemuda PAS merancang untuk menyampaikan aduan ini dalam masa terdekat sejurus selepas Agong berangkat pulang daripada menunaikan Haji.

Chua sebelum ini dilaporkan berkata 1.2 juta rakyat Malaysia terdedah risiko pengangguran jika hudud dilaksanakan.

Malah dalam ucapannya di Perhimpunan Agung ke-59 MCA, Chua mendakwa hudud adalah mustahil kerana lapan daripada 11 buah negara yang melaksanakan hukum itu antara negara paling korup, tidak stabil, dan tidak selamat.

Tiada ulasan: