Rabu, 31 Oktober 2012

Lembah Sireh: Ombak hanya setaraf dengan Najib

Abdul Latif Abdul Rahman,

Saya menyifatkan tindakan sebuah Pertubuhan badan bukan kerajaan pro UMNO, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) yang menggesa Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Datuk Ahmad Yakub melepaskan jawatan beliau berhubung isu Lembah Sireh hanyalah merupakan satu retorik dan bertujuan untuk mengalihkan isu terhadap kegagalan UMNO mengurus tadbir beberapa projek di negeri Kelantan.

Sekalipun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan oleh pihak kerajaan negeri, Ombak kelihatan masih berdegil untuk meraih publisiti dengan mengadakan perhimpunan haram di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Isnin lepas bersama-sama Pemuda Umno Kelantan yang jelas menjadi tulang belakang kepada pergerakan Ombak.

Pada saya, Ombak hanyalah merupakan pertubuhan bukan kerajaan alat Umno yang hanya berani mengadakan perhimpunan tetapi menghilangkan diri apabila dipelawa untuk berdebat dan berhujah.
Buktinya pada 16 Mei 2011, Ombak pernah berdemonstrasi di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim bagi berhubung dakwaan penyelewengan projek Ladang Rakyat, namun apabila dipelawa untuk berdebat, langsung tiada wakil daripada Ombak mahupun Pemuda Umno yang sanggup tampil ke hadapan.

Barangkali Ombak dan Pemuda Umno hanya mencontohi sikap Presiden Umno yang sampai sekarang enggan tampil untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang.

Saya mencabar Ombak untuk turut berdemonstrasi dalam isu projek Pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu, Kelantan yang masih belum siap sekalipun telah dimulakan pembinaan lima tahun yang lampau.

Kegagalan menyiapkan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan ini telah menyebabkan kenaikan kos projek kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.

Tidakkah projek ini juga ditegur oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011?

Di mana OMBAK apabila Jambatan Manek Urai yang telah dijanjikan oleh Umno dan Barisan Nasional semenjak tahun 2009 sehingga ke hari ini masih belum siap?

Di mana Ombak apabila Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa jumlah wang ehsan yang diterima ialah sebanyak RM61.8 juta berbeza dengan angka yang diumumkan oleh Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang menyatakan bahawa sebanyak RM24 juta setahun telah diterima dan ini bermakna berjumlah RM72 juta sejak 2010.

Kenapa kedua-dua angka ini berbeza? Jika angka Awang Adek benar, ke mana perginya sejumlah lebih RM10 juta lagi? Saya mendesak Ombak maupun Pemuda Umno Kelantan mengeluarkan kenyataan dalam isu ini.

Demikian juga dengan isu pendedahan 2 keping cek yang berjumlah RM 80,000 secara keseluruhannya atas nama Datuk Dr Awang Adek Hussein dan didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Kenapa terdapat transaksi wang yang sebegitu besar oleh sebuah syarikat yang berkepentingan ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Malaysia?

Isu ini didedahkan pada Ogos lepas dan sehingga ke hari ini masih belum terdapat sebarang penjelasan daripada Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ini. Di manakah Ombak dalam isu ini?

Juteru pada saya, Ombak hanyalah kuda tunggangan Umno dan Barisan Nasional untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu penyelewengan yang lebih besar membabitkan pemimpin mereka.

Dalam isu Lembah Sireh, saya yakin, penjelasan daripada kerajaan negeri tidak akan diberikan liputan oleh media massa milik mereka kerana motif sebenar Ombak mahupun Umno hanyalah untuk menutup mata rakyat daripada melihat hakikat yang sebenar.

Sekian.

Salam hormat,
ABDUL LATIFF BIN ABD RAHMAN,
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Tiada ulasan: