Ahad, 28 Oktober 2012

Tiada ‘team’ Ahmad, Idris, hanya ‘team’ Najib

Wartawan Sinar Harian

Najib Tun Razak
Dato' Seri Najib Tun Razak
 
KUALA TERENGGANU – Bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Terengganu, Amirudin Abd Rashid percaya calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak akan diwakili mana-mana kumpulan, sebaliknya hanya pasukan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata  demikian sebagai merujuk desas-desus di kalangan segelintir pihak yang menggambarkan kemungkinan calon yang diketengahkan pada PRU13 di negeri ini berkemungkinan diketuai kumpulan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said atau bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun, Amirudin yakin, perkara itu tidak akan berlaku memandangkan Najib akan mengetengahkan calon boleh menang berdasarkan hasrat rakyat di kawasan setempat.

“Pada pandangan saya, tiada ‘team’ mana-mana pihak sebaliknya BN akan tampil dengan ‘team’ yang diketuai Perdana Menteri.

“Perdana Menteri sendiri kerap kali bercakap mengenai calon boleh menang dan ini menunjukkan beliau memberi harapan kepada pengundi dan rakyat bahawa pemilihan calon kali ini menumpukan calon yang rakyat mahu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, tidak timbul mana-mana kumpulan yang akan diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang kerana yakin pucuk pimpinan parti itu akan mengotakan janji untuk mengetengahkan calon boleh menang.

Sementara itu, beliau  meminta wakil rakyat sedia ada yang berkhidmat penuh kepada parti dan rakyat di kawasan masing-masing dipilih semula kepimpinan pada pilihan raya umum nanti tanpa mengira umur.

Katanya, kira-kira 80 peratus wakil rakyat sedia ada berkhidmat baik dengan parti.

“Walaupun dilihat ada masalah di peringkat bahagian tetapi kebanyakannya masih menjaga parti dengan baik. Cuma kita minta calon-calon yang tidak menghormati Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak patut dicalonkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus berpendapat wakil rakyat tidak patut  melobi kepimpinan bagi membolehkan mereka dicalonkan semula.

"Tindakan itu hanya wajar terhadap sesetengah individu yang belum pernah dicalonkan," katanya.

Jelas beliau, ika wakil rakyat memainkan peranan dan melaksanakan komitmen dengan cemerlang, sudah tentu kepimpinan untuk meletakkan mereka sekali lagi di kerusi sama.

Tiada ulasan: