Isnin, 29 Oktober 2012

PAS tak akan rampas tanah Adun BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa di antara kelompok makhluk politik paling jahat dan khianat dalam negara ini ialah para pemimpin dan pendukung Umno Terengganu. Kejahatan, kezaliman, kedengkian dan diskriminasi dilakukan mereka sangatlah memalukan.
Bahkan, dalam kes-kes tertentu ia membelakangkan nilai perikemanusiaan. Kegilaan politik mereka malah pernah sampai ke peringkat terhasilnya tindakan-tindakan yang tidak dapat diterima akal yang waras.

Manakala pihak paling terkesan sebagai mangsa tindakan-tindakan tidak bertamadun itu tidak lain daripada pendukung parti lawan Umno. Siapa lagi kalau bukan para pemimpin dan penyokong PAS di negeri itu?

 Hampir tiada aspek hidup seharian yang tidak dicampur-adukkan dengan sentimen politik. Namakan apa saja – soal pengurusan masjid dan surau, bantuan kebajikan, bantuan pelajaran, kemudahan awam dan lain-lain – segalanya dipastikan tidak dimanfaatkan semudahnya oleh penyokong parti pembangkang.
Ertinya, segala aspek hidup rakyat Terengganu tidak lari dari merit politik. Dalam hampir setiap keadaan, yang menguasai suasana dan memonopoli manfaat-manfaat itu ialah “puak-puak Umno”.
Sebab itu menurut rekod sejarah negara, Terengganu telah menyaksikan ketegangan politik antara PAS dan Umno yang paling dahsyat. Suhu politik negeri itu sentiasa panas, malah ada ketikanya ia sampai ke tahap “mendidih”.
Di atas telunjuk Umno, pihak polis sejak dulu seakan lebih berminat mengawasi penceramah PAS berbanding penjenayah dalam masyarakat. Buktinya, tembakan bom asap di majlis-majlis anjuran PAS adalah fenomena biasa sejak zaman 60-an.
Sebelum Umno terjumpa saluran memperalatkan pasukan polis, samseng-samseng parti itu sendiri mengganggu majlis PAS dengan lontaran telur tembelang dan lain-lain tindakan kacau-ganggu yang primitif.
Ada kes di mana jambatan atau titi yang menjadi satu-satunya laluan orang-orang PAS menyeberangi parit atau alur, lantainya (batang kelapa yang direbahkan) dilumur minyak hitam. Ia bukan sahaja menyebabkannya licin dan pejalan yang melaluinya mudah tergelincir, malah menyebabkan pakaian kotor. Manakala pagar tempat tangan berpegang sepanjang titi itu pula dilumur najis manusia.
Pemecatan imam-bilal adalah satu lagi rekod kejahatan Umno Terengganu. Ia berlaku sejak 80-an, sehingga menyaksikan tragedi sembahyang Jumaat dua imam di atas satu masjid.  Ada pun penafian hak-hak lain di dalam kehidupan adalah sangat menyeluruh dihadapi para pendukung PAS negeri itu.
Itu kes-kes era 80-an. Dengan perkembangan dunia yang semakin celik huruf, dan celik maklumat, kita menyangka manusia bergelar Umno ini juga akan semakin celik hati budi dan semakin bertamadun. Malangnya, itu tidak berlaku di Terengganu. Itulah hakikatnya jika sejarah pemerintahannya sepanjang 2004 hingga kini diambilkira.
Kerakusan tanpa peri kemanusiaan dan keegoan bersangatan menyebabkan para pemimpin Umno mabuk kuasa dan sewenangnya memperlakukan apa sahaja mengikut kemahuan. Sehinggakan, segala yang diputus dan diambil perjalanan pelaksanaannya oleh kerajaan PAS dipertikaikan. Bahkan, ada keputusan dan anugerah dibatalkan sewenangnya, seolah-olah ia dilakukan sebuah kerajaan yang tidak sah.
Salah satu perkara paling disebut rakyat Terengganu ialah berkaitan anugerah tanah. Seolah-olah sudah tidak ada tanah lain milik kerajaan yang masih kosong, alih-alih tanah yang telah dibahagikan kerajaan PAS juga yang mahu diusik Umno. Maka berlakulah perampasan tanpa berhati perut. Lesen menduduki dibatalkan dan hak menyambungnya dinafikan. Beratus rumah rakyat dan sebuah masjid tergamak dirobohkan Umno. Kerakusan itu berlanjutan hingga kini.
Mengambilkira segala kezaliman itu, tidak pelik jika ada suara dari kalangan pendukung PAS untuk “membalas” tindakan jahat dan khianat Umno itu. Antara yang paling ditekankan rakyat ialah penyelesaian soal perampasan tanah. PAS Terengganu sendiri memandang serius hal itu dan meletakkannya sebagai salah satu keutamaan di dalam manifestonya kali ini.
“Saya cadangkan jika kita (PAS) memerintah semula (Terengganu), kerajana kita ambil balik tanah-tanah lot yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat Umno. Kita buat perumahan rakyat di atas tanah tu dan kita bahagi-bahagikan kepada rakyat”, tegas seorang peserta Dialog Manifesto PAS Terengganu PRU-13, di Besut baru-baru ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada kes empat wakil rakat BN di daerah itu yang didedahkan mendapat lot 2.5 ekar setiap seorang. Bagi peserta itu, dan lain-lain pendukung PAS, tindakan mengambil semula itu amat wajar. Namun, lain pula pertimbangan pemimpin PAS negeri.
“Walau pun dari segi moral dan imej politik, kita akan dianggap membela rakyat, tetapi ia bukan mudah. Kita tidak akan rampas semula tanah yang telah dibahagikan kepada mereka (wakil-wakil rakyat BN) itu. Bahkan, dalam konteks yang kita bicarakan petang ini, manifesto tidak boleh menggambarkan ada hasrat nak balas dendam atau nak buat khianat", jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahari Mamat.
Penegasan beliau itu dianggap sikap dan pendirian rasmi PAS negeri berhubung hal itu. Walau pun ia tidak disenangi penyokong PAS sendiri, mahu tidak mahu itulah prinsip yang perlu diterimapakai buat masa ini.

Tiada ulasan: