Rabu, 31 Oktober 2012

Pejabat Teo Nie Ching pula diceroboh

Roketkini.com


 KUALA LUMPUR: Pejabat Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching kehilangan sebuah komputer dan mesin cetak setelah dipecah masuk awal pagi ini. Penceroboh walau bagaimanapun tidak mengambil wang tunai bernilai RM400 di dalam laci, sebaliknya hanya berminat dengan komputer pejabat tersebut.

Menurut Nie Ching, kejadian ceroboh pejabat Pusat Khidmat Balakong di Taman Duta Mas yang turut dikongsi bersama dengan Ahli Majlis MPKJ Bryan Lai disedari pada jam 10.45 pagi oleh pekerjanya adalah kejadian jenayah kali ke dua terhadapnya dalam tempoh empat bulan.

“Sebelum ini kereta saya telah dipecahkan di Kajang pada 13 Julai lepas. Saya sudah melaporkan kejadian ini pada polis tapi masih belum mendapat apa-apa respon terkini”

Nie Ching turut pernah menerima ugutan di pejabatnya di Seri Kembangan pada Januari 2011, apabila menemui bangkai ayam yang telah disembelih beserta ugutan yang mengancam keselamatan beliau.

Kejadian pecah masuk dan khianat ke atas pejabat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan NGO bukanlah kali pertama dilaporkan.

Pada bulan Mei lalu, Pejabat Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang telah dipecah masuk menyebabkan beberapa dokumen penting dan komputer hilang.

Kejadian yang sama juga turut berlaku ke atas Pusat Khidmat ADUN PKR Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin pada 15 Oktober lalu. Percubaan pecah masuk turut berlaku ke atas pejabat Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan pada bulan Mei lepas.


Selain itu, banyak pejabat dan pusat khidmat DUN dari Pakatan Rakyat terutamanya DAP telah diperlakukan dengan tindakan khianat seperti dibaling cat merah dan terkini kejadian baling batu sehingga menyebabkan beberapa keeping tingkap kaca Ibupejabat DAP Negeri Perak pecah. – Roketkini.com




 

Tiada ulasan: