Sabtu, 27 Oktober 2012

Sabotaj bukan 'budaya eksklusif' Umno semata-mata

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
 
ANALISIS - Ramai telah mengulas sejak keputusan Majlis Tertinggi Umno mahu menubuhkan panel khas menangani masalah sabotaj baru-baru ini diumumkan. Parti teras Barisan Nasional (BN) itu mahu mengambil tindakan segera ke atas ahli parti itu yang didapati melakukan perbuatan khianat dan sabotaj ke atas parti dan ia dilihat satu amaran keras menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan, ini bukan lagi masanya untuk main-main atau merajuk apabila tidak dipilih sebagai calon dan melakukan onar dalam parti kerana pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang paling kritikal.

“Kita kena melihat kepada pengalaman-pengalaman yang lepas. Ini peringatan kepada pemimpin atau pihak-pihak tertentu bahawa dalam Umno ini, kita tidak boleh ambil risiko, kita tidak boleh main-main.
“Kadang-kadang orang berfikir mahu jadi wakil rakyat dan bukan sekadar ahli hanya untuk berkhidmat kepada rakyat tapi hakikatnya banyak cara untuk kita berkhidmat,” kata Setiausaha BN Sabah ini kepada  Sinar Harian Online.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presidennya mengumumkan bahawa jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu mengikut Fasal 10 (15) Perlembagaan Umno yang dianggotai oleh ahli Majlis Tertinggi dan beberapa individu yang tiada kepentingan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman, yang juga Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasiona (BN-BBC) mengakui, perbuatan sabotaj ini memang berlaku, namun ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa dalam sesebuah parti politik.

“(Sabotaj) ini bukan terhad dalam Umno sahaja. Tetapi dalam semua parti politik tetapi Umno sebuah parti yang proaktif menubuhkan jawatankuasa ini dalam menghadapi pilihan raya yang dikatakan sengit ini,” katanya lagi.

Ahli Parlimen veteran Umno-BN, Datuk Mohamad Aziz yang bersetuju seratus peratus dengan penubuhan jawatankuasa itu berkata, penubuhan panel khas ini penting kerana parti berhadapan dengan ramai ahli yang pelbagai kerenah.

Wakil rakyat dari Sri Gading ini menambah, Najib tentunya melihat kepada pengalaman 2008 yang menyaksikan kekalahan teruk Umno-BN disebabkan oleh faktor sabotaj di kalangan ahli parti itu yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

“Apa makna masuk parti jadi ahli, kemudian sabotaj? Umno sebuah parti yang membela nasib agama, bangsa dan negara. Sabotaj parti bermakna sabotaj agama, bangsa dan negara.

“Kita kalah 2008. Tapi Umno bukan kalah disebabkan pembangkang kuat tetapi sebab ada ahli parti yang main tikam belakang,” katanya.

Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa ini juga secara tidak langsung mengembirakan ramai ahli Umno yang setia dengan perjuangan parti.

“Apabila nampak sabotaj dalam parti, orang yang setia ini akan merasa kecewa. Tetapi dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, orang yang setia dengan parti akan rasa dihargai.

"Saya sokong seratus peratus penubuhan jawatankuasa ini,” tambah beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian juga mengetengahkan pandangan yang seiring dengan dua pemimpin itu.

Penubuhan jawatankuasa ini sebagai pemberitahuan kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral semata-mata untuk mendapat kedudukan selesa dalam parti bahawa pergerakan mereka sedang diperhatikan, katanya lagi,

Malah tambah beliau, mereka yang berebut-rebut mahu menjadi calon misalnya belum tentu punya kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Ini lebih kepada sikap. Mereka ini orang yang tidak ada jati diri, mengikut nafsu.

“Sekarang ini sudah tidak boleh seperti dulu. Sistem yang dibawakan oleh Datuk Seri Najib ini lain. Apa tujuan jadi ahli parti? Mereka ini orang yang tidak setia kepada perjuangan parti,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Aziz secara sinis mengingatkan mereka yang terfikir untuk khianat dan sabotaj ini adalah ahli parti yang tidak setia dan hanya mengejar keuntungan peribadi.

“Tanggungjawab kita sebagai ahli parti, itu yang penting. Jangan hendak berebut jadi Ketua Cawangan tapi tidak ada rasa tanggungjawab. Bertahun Datuk Seri Najib buat kerja, kalau kita sabotaj, adakah kita boleh buat kerja? Ini bukan perjuangan, ini gila kuasa namanya,” ujar beliau.

Ketika mengumumkan perkara itu minggu lau, Najib yang juga Pengerusi BN dan Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan bagi memudahkan tindakan segera di ambil ke atas ahli parti itu yang mengkhianati parti dan calon BN.

Sebelum ini, setiap kesalahan yang dilakukan oleh ahli parti diserahkan kepada Lembaga Disiplin dan ia mengambil masa sebelum tindakan diambil. Majlis Tertinggi Umno juga telah memutuskan untuk melantik salah seorang daripada setiap bahagian Umno di seluruh negara sebagai anggota jawatankuasa itu.
Ini kali pertama Umno mengambil tindakan tegas ini. Tindakan akan diambil sebelum PRu13 berbanding dulu selepas pilihan raya selesai.

Pengalaman 2008 membawa Umno ke tahap lebih berhati-hati meskipun sesetengah pihak melihat parti ini sudah panik. Sebagaimana dikatakan Abdul Rahman, sabotaj tidak terhad kepada Umno sahaja. Ia jelas kerana Umno bertindak sebagai parti besar dengan tiga juga ahli.

Tiada ulasan: