Rabu, 31 Oktober 2012

Awang Adek: Pelabur Genneva 35,000 orang


 
Timbalan Menteri Kewangan menafikan bahawa jumlah pelabur sehingga 80,000 orang.



KUALA LUMPUR: Kerajaan percaya jumlah pelabur dalam skim dagangan emas Genneva Malaysia hanya merupakan 35,000 orang dengan pelaburan antara RM4 bilion hingga RM10 bilion.

“Maklumat yang saya peroleh setakat ini 35,000 pelabur dikesan melibatkan pelaburan lebih dari RM 4 bilion dan mencecah RM10 bilion,” kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin semasa menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau menafikan kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali terdapat 80, 000  pelabur yang terlibat di dalam skim ini.

Aset Syarikat Genneva Malaysia telah dibekukan oleh Bank Negara Malaysia sejak awal bulan ini kerana disyaki mengumpul wang deposit secara haram dan pelbagai kesalahan kewangan.

Awang Adek turut menyatakan sebelum ini menyenaraikan langkah-langkah kesedaran yang diambil kerajaan agar rakyat tidak tertipu dengan skim sebegini yang beliau sifatkan sebagai mempunyai nilai sentimental.

“Perniagaan ini berselindung di sebalik perniagaan emas dan mempunyai tarikan sentimental maka pengguna merasakan perniagaan emas betul,” kata beliau.

Beliau turut menyatakan Bank Negara Malaysia perlu bertindak secara seimbang dalam mengambil tindakan terhadap syarikat pelaburan sebegini.

“Bank Negara tidak boleh terus masuk. Kita kena imbangi tak terlalu cepat dan tak terlalu lewat. Kalau terlalu cepat, akan dimarahi pelabur,” kata Awang Adek.

Tiada ulasan: