PUTRAJAYA - Panel khas yang memantau insiden kematian Aminulrasyid Amzah, 15, akibat ditembak polis, 26 April lalu, mendapati wujud beberapa perkara yang tidak konsisten dalam siasatan kes itu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang juga pengerusi panel tersebut berkata, ia dinyatakan dalam taklimat polis yang diadakan semasa mesyuarat panel itu hari ini.
Katanya, justeru beliau telah meminta polis supaya membuat siasatan lanjut agar tidak timbul salah faham di kalangan masyarakat.
"Terdapat beberapa perkara yang tidak konsisten, iaitu antara bukti-bukti dan saksi-saksi, jadi kita minta supaya perkara-perkara itu disiasat lagi.
"Kita tidak mahu ada yang mengatakan kita sembunyikan sesuatu dan sebagainya, apa yang penting kita mahukan kebenaran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Aminulrasyid maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda ketika remaja tersebut cuba melarikan diri daripada ditahan di Seksyen 11, Shah Alam.
Abu Seman berkata, panel tersebut juga telah diminta untuk menyiapkan laporan awal mengenai pemantauan siasatan kes itu untuk dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada minggu depan.
"Setiap laporan daripada panel itu juga akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri, bagaimanapun belum ada keputusan daripada menteri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk didedahkan kepada umum," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan