Setahun yang lalu, Wong Ho Leng digantung tugas 12 bulan dari Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya kerana mempersoalkan kehilangan lebih RM900 juta wang pembayar cukai negeri itu.
Hari ini, di pentas Pilihanraya kecil Parlimen Sibu pula, Wong Ho Leng sekali lagi bangkit untuk mempertanggungjawabkan pemerintah Barisan Nasional di atas penyelewengan harta rakyat Sarawak.
Beliau yakin dengan sokongan jentera pakatan rakyat beliau mampu memberi saingan sengit kepada calon BN dan waris jutawan mendiang Robert Lau Hui Yew penyandang ahli parlimen sibu sebelum ini.
Dalam temubual dengan TV Selangor, Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, percaya Pakatan Rakyat mampu memenangani pilihanraya kali ini.
Meskipun jam menunjukkan detik 11 malam, Ketua Pembangkang Sarawak ini sudi menyambut krew TV Selangor di bilik operasi pilihanraya DAP malam semalam.
Wong memberitahu kehidupan rakyat Sarawak, Malaysia, dan Sibu khususnya, akan semakin terhimpit jika BN kembali menguasai Parlimen ini.
“Kes-kes rasuah dan penyelewengan yang terparah adalah di Sarawak. Jerung-jerung rasuah masih berkeliaran bebas di Sarawak", tegas beliau.
Wong yakin beliau mampu meraih sokongan pengundi Sibu berdasarkan kepada tren semasa pengundi yang semakin beralih kepada Pakatan Rakyat.
Petunjuk dari kalangan muda masyarakat Cina dan Bumiputera dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang lalu menunjukkan kecenderungan yang tinggi untuk mengundi Pakatan Rakyat.
“Jika rakyat Sibu mengundi BN, ia akan hanya menambahkan kekuatan BN di Parlimen dan Sarawak. Selepas 40 tahun rakyat bawahan melarat, ini tidak akan memberi apa-apa manfaat. Sebaliknya, jika kita mengundi Pakatan Rakyat, yakinlah suara rakyat akan bergema di Parlimen dan Majlis Dewan Undangan Negeri,” tegas beliau.
Wong menegaskan meskipun keputusan pilihanraya kecil ini tidak mengubah perimbangan kuasa di parlimen, namun kemenangan Pakatan Rakyat di sibu akan menghantar isyarat jelas bahawa kezaliman BN boleh ditamatkan.
“Pesanan saya kepada pengundi Sibu adalah mudah. Satu undi kepada kita adalah undi memperkasakan Pakatan Rakyat di Parlimen. Rakyat akan kerugian jika memilih calon BN. Saya merayu kepada pengundi supaya membuang undi dengan bijaksana, demi perubahan, dan masa untuk perubahan telah tiba,” tegas beliau.
Isu yang hampir pada dirinya adalah soal kemiskinan rakyat Sarawak yang tidak mencerminkan kekayaan hasil bumi Kenyalang ini.
Katanya, pada 2009, pendapatan Sarawak mencecah hampir RM3.726 bilion ringgit, tetapi 70 peratus daripada penduduk rumah panjang masih tidak mempunyai akses kepada air bersih, jalanraya dan tenaga elektrik.
Bagi Wong, kepayahan rakyat ini mengimbas kembali zaman susah beliau membesar dalam keluarga yang miskin.
“Saya dari latar-belakang yang miskin. Maka, saya amat memahami keluhan masyarakat miskin. Anak kepada seorang hartawan mungkin tidak merasai kepayahan hidup daif rakyat Sibu. Tidak ada maknanya kita memilih seorang calon yang tidak mewakili suara rakyat,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan