Isnin, 17 Mei 2010

Tong gas kedai meletup cederakan polis, bomba

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis yang bertugas di Balai Polis Batu 9, Cheras di sini, cedera setelah terkena serpihan cermin tingkap yang pecah akibat letupan sebiji tong gas dalam kebakaran kedai di hadapan balai berkenaan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu turut mengakibatkan semua cermin di dalam balai berkenaan pecah.

Dua anggota terbabit yang cedera di kaki dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Selain dua anggota terbabit, seorang anggota polis wanita dan seorang anggota bomba turut dihantar ke hospital sama kerana mengalami sesak nafas dan terkena renjatan elektrik.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat Mazlan Zainol berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada litar pintas yang berlaku di salah sebuah unit kedai di situ.

Katanya, turut musnah adalah 10 unit kedai dua tingkat dan empat unit kedai setingkat yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.

"Kebakaran itu berlaku dengan pantas kerana semua unit kedai berusia lebih 40 tahun itu diperbuat daripada papan.

"Berikutan itu juga, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tiada ulasan: