KUALA LUMPUR - Sebanyak 59 kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga pukul 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul ketika ini adalah sebanyak 14,385 kes.
Selain itu, jumlah kes penyakit serupa influenza (ILI) yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara pula adalah sebanyak 595 kes.
Daripada jumlah itu, 77 kes iaitu 12.9 peratus disahkan positif H1N1 manakala bilangan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula 12 kes dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sehingga pukul 8 pagi ini pula, kementeriannya menerima satu laporan kejadian kluster ILI di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Padang Hijau, Kluang, Johor.
"Sehubungan itu, mereka yang mempunyai gejala ILI seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat tumpuan ramai.
"Jika mereka yang mempunyai simptom itu terpaksa keluar dan berhubung dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200 atau 03-88810300.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan