Rabu, 19 Mei 2010

Tindakan Speaker DUN Sarawak Keterlaluan


Domi Oleh Qayum Rahman


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Dominique Ng Kim Ho menyifatkan tindakan Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar adalah keterlaluan dan dilihat sebagai mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu berkata, "tindakan Speaker ini jelas menunjukkan bahawa beliau bersekongkol dengan BN untuk menyekatkan suarat Pakatan Rakyat (PR) dalam dewan.

Semalam, Speaker menggunakan Akta 32 (4) Perlembagaan Negeri untuk menggantung beliau dan ADUN DAP-Kota Sentosa, Chong Chieng Jen selama 12 bulan atas dakwaan menghina dewan.

Ketika dihubungi oleh Free Malaysia Today hari ini, Ng menerangkan bahawa Speaker berusaha untuk menyekatkan tindakan mereka mendedahkan tentang penyelewengan yang dilakukan oleh BN.

"Saya kecewa dengan tindakan Speaker kerana bertindak sewenang-wenangnya tanpa memberi peluang kepada kami untuk menyuarakan pandangan.

"Penggantungan terhadap saya adalah tidak adil dan BN menggunakan kuasa majoritinya dalam Dewan untuk menghalang ADUN PR daripada bersuara," jelas beliau.

BN balas dendam

Beliau berkata, Speaker mengambil tindakan tersebut hasil dari hasutan BN yang mahukan jumlah ADUN PR berkurangan supaya mudah bagi BN membuat sesuatu keputusan.

Ng mendakwa kerajaan negeri di bawah BN ini juga bertindak sedemikian bagi membalas dendam ekoran kekalahan calon mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu Ahad lalu.

"Kesalahan kami hanya kecil sahaja tetapi hukumannya tidak setimpal kerana kami digantung selama setahun dan tidak dapat hadir dewan dalam tempuh itu," katanya.

Ng didakwa menghina dewan dengan melabel dewan sebagai "mahkamah kanggaro" manakala Chong didakwa atas dua kesalahan.

Kesalahan Chong yang pertama ialah beliau menuduh SUPP berbohong mengenai tindakan SUPP mendapatkan khidmat pakar dari China berhubung projek mitigasi banjir pada 15 Mei lalu.

Kesalahannya yang kedua ialah kerana secara tidak langsung meletakkan kesalahan kepada Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman berikutan seorang penjaja di Gambier Street membunuh diri.

Chong mendakwa penjaja tersebut membunuh diri kerana perniagaannya terjejas teruk setelah dipindahkan dari pasar basah ke Stutong.

Daud, yang juga ADUN Tupong bertanggungjawab atas kerja-kerja penempatan semula para penjaja.

Hukuman gantung selama 12 bulan yang diumumkan oleh Mohd Asfia pada hari kedua sidang DUN Sarawak itu berkuat kuasa serta merta.

Tiada ulasan: