| KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap pihak polis memberi keutamaan menyiasat kes pengawal Istana, Allahyarham Ramli Mohammad yang ditembak dari jarak dekat lelaki tidak dikenali 1 Mei lalu.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, siasatan perlu disegerakan selaras dengan titah Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang mahu kes berkenaan diberi keutamaan.
”Saya melahirkan rasa terharu terhadap keprihatinan yang begitu mendalam baginda terhadap nasib yang menimpa arwah dan keluarga.
“Saya juga yakin kepakaran pihak keselamatan bagi menyelesaikan kes terbabit lebih cepat,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Tetsuro Kai, di pejabatnya hari ini.
Pada kejadian 1 Mei lepas, Ramli sedang menunggang motosikal pulang ke rumah selepas tamat bertugas ditembak suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli.
Doktor sebelum ini berjaya mengeluarkan sebutir peluru yang melekat pada dadanya. Namun beliau masih berada dalam keadaan kritikal dan kelmarin organ utamanya dikatakan dijangkiti kuman.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kira-kira jam 3.15 pagi semalam.
Beberapa jam sebelum kematiannya Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sempat menziarahi Ramli di hospital.
Baginda juga menghulur sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada keluarganya bagi mengurangkan beban dihadapi mereka. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak.
Menteri Besar juga menziarahi jenazah allahyarham petang semalam di Bilik Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab ll sebelum disembahyangkan di Masjid Muhammadi selepas solat Isya.
Sehubungan itu beliau sebagai mewakili kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli.
”Pada awalnya saya juga berhasrat menunaikan solat jenazah, namun memandangkan perlu menyampaikan kuliah di Masjid Pulau Melaka, maka saya tidak sempat hadir,” katanya.
Bagaimanapun pagi tadi isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak bersama anggota Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) menziarahi keluarga allahyarham di Kampung Kok Keli, Tumpat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta keluarga allahyarham bersabar menghadapi ujian besar dari Allah sebaik mungkin kerana setiap kejadian yang berlaku akan direkod MalaikatNya.
“Akhirat nanti segala apa yang berlaku sama ada kes sebegini, yang baik dan sebagainya akan didedahkan di akhirat nanti.
“Kita sebagai orang Islam kena yakin dengan kebesaran Allah dan setiap yang berlaku tentu ada hikmah dariNya,” ujarnya.
Timbalan Pengerusi KeADILan Kelantan, Abdul Aziz Kadir juga berharap pihak polis menyiasat segera kes tersebut dan membawa ke muka pengadilan pihak yang bersalah.
Katanya, kes terbabit perlu diberi perhatian serius memandangkan ia melibatkan pegawal istana yang juga seorang penjawat awam.
Manakala dalam perkembangan lain malam semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien mengadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan