KOTA BAHARU —Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra berangkat pulang ke Istana Mahkota hari ini setelah tahap kesihatan Baginda di dalam keadaan stabil dan mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.
Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Sultan Kelantan dibawa pulang setelah lima hari menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan setelah panel 10 pakar perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas status kesihatan Baginda.
“Tuanku Al-Sultan dibawa keluar menerusi perkenaan Pemangku Raja Kelantan yang memberi titah membenarkan Tuanku Al-Sultan dibawa pulang ke Istana Mahkota.
Titah itu dibuat selepas tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan berada dalam keadaan stabil.
“Tuanku Al-Sultan akan berehat di Istana Mahkota dan baginda kini dalam keadaan stabil serta berada di bawah pengawasan doktor,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada malam Selasa lepas, Sultan Kelantan dibawa ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan untuk baginda menjalani rawatan susulan di situ.
Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan telah melantik panel 10 pakar perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan dan mereka menjalankan pemeriksaan itu sejak dua hari lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan