SEPANG — Bekas ketua Pegawai Eksekutif MIED, P. Chitirakala mendakwa seorang ahli politik kanan komponen Barisan Nasional mendalangi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahannya daripada pergi ke luar negara, petang ini.
Bekas ketua pegawai eksekutif wanita sayap pendidikan MIC itu sepatutnya dijadual berlepas ke India pukul 6.50 petang tadi, tetapi dihalang pegawai SPRM atas alasan yang tidak diketahui.
“Sepatutnya penerbangan saya ke India pada pukul 6.50 petang ini tetapi ketika hendak ke balai pelepasan saya ditahan pegawai SPRM.
“Apabila saya bertanya mengapa mereka memberitahu ada sedikit masalah tetapi tidak diberitahu mengenai apa.
“Jadi saya memberikan kerjasama kepada mereka tetapi dalam tempoh sejam mereka masih tidak memberikan sebarang penjelesan sebaliknya meminta supaya saya bertenang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Chitirakala percaya ini adalah drama yang dibuat oleh pemimpin kanan itu untuk menjatuhkannya.
Semalam beliau memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM menyerahkan notis permohonan untuk menahan pasportnya.
Kes itu akan didengar 25 Mei.
Beliau terkejut dengan tindakan tersebut kerana tidak menyangka pasportnya hendak ditahan sedangkan mahkamah tidak menghalangnya untuk ke luar negara.
“Memang benar SPRM memfailkan permohonan untuk menahan pasport saya semalam dan ia dijadual untuk pendengaran pada 25 Mei ini.
“Tetapi apa yang mengejutkan saya SPRM mendapat maklumat bahawa saya ingin melarikan diri ke luar negara sedangkan sebelum ini saya kerap ke luar negara tetapi tiada masalah.
“Saya juga ada memaklumkan secara bertulis kepada SPRM pada 10 Mei tentang tarikh dan destinasi yang akan saya pergi sehari sebelum saya didakwa,” katanya yang merupakan bekas orang kepercayaan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan