Khamis, 6 Mei 2010

Saksi utama kes Aminulrasyid disiasat kali ke-3, dakwa 15 tembakan



SHAH ALAM — Saksi utama Azamuddin Omar dipanggil polis kali ketiga hari ini dan masih berpendirian tegas dengan apa yang diakui sebelum ini berhubung insiden Aminulrasyid Amzah mati ditembak minggu lalu.

Azamunddin, 15, anak seorang anggota polis, yang merupakan satu-satunya penumpang kereta dipandu Aminulrasyid dipanggil semula polis — dua hari selepas dia mengadakan sidang media di sini.

Pada sidang media kelmarin, Azamuddin berkata mereka pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran sebelum terlibat dalam kemalangan dan dikejar beberapa motosikal dan juga anggota polis kemudian.

Azamuddin mengulangi kenyataannya kepada pasukan siasatan bahawa anggota polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka dengan salah satunya terkena bahagian kepala Aminulrasyid.

“Tumpuan soalan hari ini ialah bila tembakan terakhir dan maut dilepaskan,” kata peguamnya N. Surendran di sini hari ini.

Kata beliau, polis ingin tahu sama ada tembakan terakhir dilepaskan sebelum atau selepas kereta mereka terbabas.

“Saksi konsisten bahawa Aminulrasyid ditembak di kepala dan badannya rebah di riba dia sebelum kereta terbabas. Tiada tembakan dilepaskan selepas itu,” katanya.

Surendran menambah pegawai penyiasat juga bertanya berapa das tembakan yang dilepaskan pada masa kejadian.

“Azamuddin memberitahu polis bahawa sekurang-kurangnya 15 tembakan dilepaskan tetapi dia tidak pasti sebab berada dalam keadaan takut,” katanya.

Surendran berkata Azamuddin (gambar) disoal siasat petang ini kira-kira 45 minit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

“Sesi soal siasat dijalankan dengan profesional,” katanya.

Azamuddin juga ditemani oleh peguam Latifah Koya.

Dalam pada itu laporan Bernama menyebut, panel khas memantau siasatan diberikan ruang seluas mungkin dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan siasatan kes itu dilaksanakan secara telus, adil, cepat dan tanpa rasa takut atau berat sebelah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa itu adalah matlamat utama panel khas itu ditubuhkan.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa panel ini tidak akan mencampuri urusan prosedur siasatan, sebaliknya akan bertindak melihat dan menilai setiap sudut aspek siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota panel khas itu terdiri daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai pengerusi; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar; anggota Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz.

Turut menganggotai panel khas itu ialah anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Dr Michael Yeoh; bekas anggota Suhakam, Dr Denison Jayasooria; penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi 26 April lepas, Aminulrasyid mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri semasa hendak ditahan di Seksyen 11 di sini.

Hishammuddin berharap ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid bersabar dengan proses siasatan yang sedang dijalankan serta dapat menerima pembentukan panel khas itu.

Katanya seperti diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau mahu agar siasatan terhadap perkara itu dapat dilaksanakan secara telus tanpa menyembunyikan sebarang fakta dan maklumat serta adil.

Tiada ulasan: