Rabu, 12 Mei 2010

Peniaga dilapor hilang ditemui mati dalam hotel

UTUSAN ONLINE

IPOH - Seorang peniaga barangan lusuh di Menglembu, dekat sini yang dilaporkan hilang oleh keluarganya, ditemui mati dibunuh dalam bilik di sebuah hotel bajet di Pekan Baru, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa, B. Thangaraja, 38, ditemui oleh pekerja hotel yang memeriksa bilik itu setelah mangsa tidak mendaftar keluar selepas pukul 12 tengah hari.

Katanya, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai dengan kesan torehan di badan, dahi dan kemaluannya.

"Siasatan polis mendapati beg duit serta kereta milik mangsa turut hilang dan disyaki dilakukan oleh lebih daripada seorang. Kita juga percaya motifnya akibat cemburu.

"Pihak polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel itu untuk mengesan suspek-suspek terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Dzuraidi, polis sedang menunggu keputusan bedah siasat daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mengetahui punca kematian mangsa.

"Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Terdahulu, keluarga mangsa yang datang ke hotel itu untuk membuat pengecaman gagal menahan kesedihan sejurus mengetahui identiti lelaki itu.

Kenalan-kenalan mangsa yang terlibat dalam perniagaan barang lusuh turut dilihat berada di hotel tersebut.

Tiada ulasan: