Sabtu, 1 Mei 2010

Pelan pengurusan untuk Taman Pulau Sipadan

BERNAMA


pulau-sipadan SEMPORNA (Sabah): Satu Pelan Pengurusan Taman Pulau Sipadan akan dirangka yang memfokuskan kepada pengurusan mesra alam bagi memastikan pemuliharaan secara berterusan hidupan marin, flora dan fauna di pulau itu.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Paul Basintal berkata langkah merangka pelan pengurusan itu selaras dengan pewartaan pulau Sipadan sebagai taman pada Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994.

"Pelan pengurusan itu akan menjadi panduan untuk mengurus kawasan taman ini secara lebih sistematik bagi memulihara khazanah yang terdapat di pulau itu secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan di Pulau Mabul malam tadi.

Ekspedisi selama lima hari itu yang berakhir semalam disertai oleh 49 penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, TTS, Jabatan Perikanan, Jabatan Mineral dan Galian dan Tabung Alam Dunia (WWF).

Paul berkata data saintifik yang berbentuk biologi dan fizikal yang diperoleh sepanjang ekspedisi itu akan dijadikan garis panduan dalam menyediakan pelan pengurusan Taman Pulau Sipadan.

Katanya, pihaknya akan menyiapkan pelan pengurusan dalam tempoh terdekat dan dihantar kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sebelum dibentangkan kepada Kabinet negeri.

Beliau berkata pelan pengurusan itu yang mengandungi pelan jangka pendek dan panjang itu penting sebagai langkah pemuliharaan yang wajar dan perlu diambil oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti di Taman Pulau Sipadan.

Mengenai hasil ekspedisi itu, Paul berkata penyelidik menemui perubahan kesan positif biologi dan fizikal di pulau itu selepas langkah kerajaan tidak membenarkan pusat peranginan beroperasi di pulau itu dan mengehadkan jumlah pelancong mengunjungi pulau itu pada lima tahun lepas.

Katanya, antara kesan positif yang diperoleh oleh penyelidik ketika ekspedisi itu adalah pertambahan ikan terumbu karang di pulau itu dan tiadanya gangguan terumbu karang dapat menjaga kepentingan sekitar perairan pulau itu sebagai kawasan pemakanan penyu.

"Langkah kerajaan itu merupakan keputusan yang baik dalam memulihara pulau Sipadan dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui penyediaan satu pelan pengurusan yang mantap," kata Paul.


Tiada ulasan: