Rabu, 19 Mei 2010

Pegawai istana kini kritikal, Pemangku Raja sumbang RM100,000

UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU - Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd. 50, yang cedera parah akibat ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Palekbang, Tumpat hampir dua minggu lalu, kini berada dalam keadaan kritikal.

Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, ia disebabkan jangkitan kuman terhadap beberapa organ penting seperti paru-paru, jantung dan buah pinggang mangsa.

Menurutnya, pakar-pakar perubatan memaklumkan mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan tahap keselamatan Ramli kembali stabil setelah kritikal sejak dua hari lalu.

"Ramli yang tidak sedarkan diri, kini dibantu oleh alat bantuan sokongan tetapi saya amat kagum dengan kemudahan di hospital ini yang setanding dengan hospital-hospital di Kuala Lumpur.

"Pakar-pakar sedang mencari jalan untuk memulihkannya selepas jangkitan kuman di organ pentingnya memberikan kesan yang amat teruk," katanya kepada pemberita selepas melawat Ramli yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

Abdul Halim turut menyampaikan sumbangan peribadi Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebanyak RM100,000 kepada isteri Ramli, Maznah Mustafa.

Pada 5 Mei lalu, sepasukan pakar perubatan telah mengeluarkan peluru pada badan Ramli yang ditembak lima hari sebelum itu.

Tiga hari kemudian Ramli telah menunjukkan perubahan dengan memberikan tindak balas dan keadaannya semakin stabil.

Pesara tentera itu juga sudah mampu menggerakkan mata dan tangannya apabila ditanya ahli keluarga mengenai keadaan dirinya ketika itu.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, Tengku Muhammad Faris amat mengambil berat terhadap perkembangan Ramli sejak dimasukkan ke ICU.

"Saya dan pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan telah dititah untuk melawat Ramli dan berjumpa dengan keluarga beliau.

"Pemangku Raja memang mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa, malam tadi saya melaporkan perkembangan terkini kepada tuanku dan baginda memberi sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 serta berharap keluarga Ramli bersabar," katanya.

Tambahnya, Tengku Muhammad Faris berharap pihak polis dapat menyiasat dan menyelesaikan kes tersebut dengan segera mengikut undang-undang.

Sementara itu, Maznah berkata, beliau tidak meninggalkan suaminya sejak dia berada di wad tersebut dan sentiasa membacakan surah Yasin di sisinya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Raja kerana memberikan sumbangan dan amat prihatin dengan nasib yang menimpa suami saya," katanya.

Tiada ulasan: