Selasa, 11 Mei 2010

PAS Bidas Konsert 12 Jam Tanpa Henti

Oleh Noor Safinas

KUALA LUMPUR : PAS membidas Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) kerana 'mengelak' membuat penjelasan berhubung konsert panjang 12 jam tanpa henti yang disertai artis R&B popular Pitbull.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa konsert daripada jam 7 petang sehingga 7 pagi yang dijadualkan pada 15 Mei ini telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert.

Menurut beliau, sesebuah persembahan konsert di tempat awam tidak boleh melebihi jam 12 malam dan jika mempunyai sebab-sebab tertentu mungkin dibenarkan sehingga 1 pagi, seperti yang sedia termaktub.

"Juga bagi sesebuah kelab hiburan dan disko, ianya dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 1 pagi ataupun 2 pagi," katanya seperti dipetik media.

"Kita sedia maklum lagu hit Pitbull ialah Hotel Room Service, I Know You Want Me. Ini bermakna Pitbull sudah semestinya mempersembahkan kedua-dua lagu ini di pentas konsert.

"Bayangkanlah muda-mudi kita berhibur sambil menyanyikan lirik tersebut dengan penuh penghayatan selama 12 jam tanpa henti sambil dikelilingi oleh pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang sudah pasti menimbulkan rangsangan sesama mereka," tulis Nasharuddin lagi dalam kolumnya.

Nasharuddin turut memetik lirik lagu Hotel Room Service yang didakwa "menggalakkan sesi seks beramai-ramai".

Satu lirik lagi yang bertajuk Sticky didakwanya menggalakkan budaya menghisap ganja dan pengambilan dadah bagi tujuan rekreasi.


"Yang menghairankan; walaupun dengan segala fakta kandungan lirik lagu Pitbull yang secara jelas berlandaskan unsur-unsur negatif; tetapi masih lagi mendapat kelulusan dari pihak Jawatankuasa Rayuan?" katanya.

Konsert dinamakan '12 Hours Live with Chivalry' pada 15 Mei ini dijadual berlangsung di Arena Tertutup Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Ia juga dilaporkan melibatkan persembahan beberapa DJ dan artis tempatan.

Tiada ulasan: