Jumaat, 21 Mei 2010

PAS BANTAH KONSERT INUL DARATISTA





Oleh : SALMAN AMIN


DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan kerajaan negeri Sabah membenarkan penganjuran ‘Konsert 1 Inul Daratista’ dan bertekad untuk membantah sekeras-kerasnya jika Konsert ini diadakan di Tawau pada hujung bulan mei ini.

Tindakan membantah konsert ini difahamkan sebagai usaha untuk membanteras kebejatan moral yang telah menyebabkan meningkatnya kes pembuangan bayi yang semakin meruncing; namun kerajaan seolah-olah tidak membuat sebarang usaha untuk menyekat punca berlakunya gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat.

Dewan Pemuda Pas itu juga mencabar pemuda UMNO Tawau agar mengambil langkah segera menghentikan konsert yang tidak berfaedah ini.

Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya.

Adakah dengan tindakan pengharaman tersebut, negara kita mahu memberikan ‘suaka politik’ kepada beliau?

Apakah relevannya Stadium Utama Kompleks Sukan dipilih. Pihak penganjur seakan-akan mahu membesar-besarkan saiz penganjuran konsert tersebut. Soalnya, Inul Daratista adalah artis Indonesia.

Apakah negara Malaysia telah ketandusan artis tempatan untuk menghiburkan rakyat Malaysia, atau penganjur mahu menghiburkan rakyat Indonesia yang bermastautin di Malaysia? Apakah nilai yang kita mahukan dari artis ini selain dari persembahan yang berahi dan mengghairahkan?.

Persembahannya di Stadium Merdeka pada tahun 2005 dan 2007 telah membuktikan bahawa unsur-unsur lucah tidak dapat dipisahkan dari tariannya yang merupakan ‘trademark’ bagi Inul sendiri.

Memandangkan imej lucah dan ghairah tidak dapat dipisahkan daripada diri Inul, maka peluang ketiga tidak harus diberikan kerana ia memang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

DPPKT juga bersetuju bahawa konsert artis seperti ini menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang lebih besar terhadap anak-anak muda Malaysia.

Garis panduan tersebut mestilah mencakupi semua bentuk hiburan bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan pihak penganjur (Event Management) merangka serta menyusun program dan artis yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perlu ditegaskan di sini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau tidak menghalang hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu ‘alternatif’ manusia masa kini.

Namun yang dipertikaikan di sini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti dadah, arak, pergaulan bebas, khayalan cinta dan lupa diri kepada pemuda-pemudi di Malaysia.

Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan.

Akhir sekali, Dewan Pemuda PAS Sabah sekali lagi mendesak supaya konsert Inul Daratista yang dijangka akan diadakan pada 29 Mei 2010 ini dibatalkan serta merta. Dewan Pemuda PAS dengan ini mencadangkan supaya pihak penganjur mencari artis lain yang lebih bersopan, tertib, berakhlak dan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia untuk menghiburkan masyarakat di Tawau khasnya dan Malaysia amnya.

Ramai lagi artis Malaysia yang popular tetapi mempunyai imej yang boleh diterima oleh masyarakat di Malaysia. Pihak kerajaan seharusnya mengambil kira sensitiviti majoriti masyarakat Islam di Sabah khususnya di Tawau.

Tiada ulasan: