Sabtu, 8 Mei 2010

Nazri Aziz diarah fail pembelaan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Permohonan abang mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Meng Kee, agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana menuduh Dr Pornthip Rojasunan sebagai penipu diputuskan 21 Mei ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya meneliti hujahan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh mewakili Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibenarkan mencelah.

Azmil yang mendengar hujahan lisan peguam, Karpal Singh, yang mewakili Meng Kee berkata, beliau perlu masa untuk meneliti kes supaya dapat buat keputusan adil.

Sebaik Azmil menyebut perkataan 'adil', Karpal mencelah: “Ya, tuan mesti berlaku adil, jangan hanya adil kepada menteri.”

Terdahulu, Amarjeet menghujahkan permohonan Meng Kee yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) kerana mendakwa Nazri menuduh Pornthip sebagai ‘she is a liar. She lied in the inquest’ ditolak kerana tidak disokong bukti kukuh.

“Afidavit yang difailkan Meng Kee untuk menyokong notis usulnya bersifat dengar cakap kerana merujuk laporan orang lain.

“Afidavit pemberita MalaysiaKini, Hazlan Zakaria (yang mengesahkan Nazri mengeluarkan kenyataan itu semasa dihubungi melalui telefon antara 10 pagi dan 12 tengah hari, 11 April lalu) tidak mempunyai nilai kerana tidak disertakan laporan itu,” katanya.

Dalam hujahnya, Karpal berkata, Nazri menggunakan bahasa tidak sesuai dan seperti mencabar mahkamah.

“Bolehkah tuan berdiam diri kerana beliau menteri? Saya harap tidak kerana ia campur tangan dalam sistem kehakiman,” katanya.

Karpal memohon supaya notis usul itu dibenarkan dan Nazri diarahkan ke mahkamah untuk memfailkan pembelaan.

Tiada ulasan: