Sabtu, 1 Mei 2010

Musa positif tubuh inkues

SINAR HARIAN ONLINE



SHAH ALAM - Polis semalam menghantar kertas siasatan kes Aminulrasyid Amzah, remaja malang yang mati terkena tembakan polis Isnin lalu kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis juga mengalu-alukan inkues dijalankan mengenai kes itu bagi mengetahui kejadian sebenar dan punca insiden tersebut.

"Saya minta inkuiri dijalankan dahulu untuk lihat sama ada terdapat justifikasi terhadap tindakan polis,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di Jalan 11/2G, Seksyen 11 di sini.

Sebelum itu, Musa mendengar taklimat mengenai kes remaja berusia 15 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Musa meminta kes itu tidak dipolitikkan kerana maklumat dan fakta yang diterima akan disiasat, tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya pun hendakkan keadilan ini diberikan kepada semua pihak dan juga Allahyarham ini. Jadi, sama-samalah kita cari keadilan,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat mengikut arahan polis jika diminta berhenti untuk mengelak syak wasangka.

“Jika tidak ada lesen pun jangan takut. Paling teruk pun mereka akan dikenakan saman. Sekali lagi saya ingatkan jangan lari. Kalau lari akan menimbulkan kecurigaan,” katanya.

Mengenai salah anggap masyarakat terhadap tindakan polis, Musa berkata, polis hanya menjalankan tugas. Banyak kes pecah rumah berlaku dan kejadian jam 2 pagi seperti itu tentunya mencurigakan.

Mengenai cadangan kamera video dipasang di kereta peronda bagi memudahkan pegawai merakam kejadian, Musa berkata beliau sendiri telah membuat cadangan seperti itu, sejak 2006.

Tiada ulasan: