Sabtu, 8 Mei 2010

Muhyiddin: BN yakin di Sibu, tapi perlu kerja keras

BERNAMA

Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) bersama calon BN Robert Lau Hui Yew (dua dari kiri) dan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. - Gambar oleh Jack Ooi
SIBU— Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional mampu mencatat kejayaan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini tetapi pada masa yang sama menegaskan mengenai perlunya semua untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN.

“Keyakinan kami adalah berdasarkan rekod BN menguasai kerusi ini selama lima penggal. Ini merupakan kubu BN.

“Semangat semua anggota juga adalah tinggi manakala penyandang kerusi ini mendiang Datuk Robert Lau hoi Chew telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya

Wong See Meng mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Beliau berkata setiap pilihan raya kecil amat penting kepada BN “untuk menilai tahap penerimaan rakyat dan menghargai semua yang ia (BN) telah lakukan”.

Disebabkan semangat penyokong BN sanggup duduk di mana sahaja untuk melahirkan sokongan. - Gambar oleh Jack Ooi
“Dan kami tidak pernah menganggap mana-mana pilihan raya kecil sebagai mudah untuk dimenangi. Sibu juga tidak terkecuali dengan lebih 50,000 pengundi yang tinggal berselerak di kawasan yang luas ini.

“Kami telah gerakkan semua jentera pilihan raya di setiap peringkat. Saya telah arahkan jentera pilihan raya pusat bergerak secara efisien. Mereka tidak harus terhalang oleh mana-mana masalah dalaman,” katanya.

Muhyiddin berkata tempoh seminggu akan datang adalah amat kritikal dan penting.

“Kami tahu apakah isu yang akan dieksploitasi oleh pembangkang. Kami akan memberikan penjelasan secara baik dan bukannya “menyerang balik” demi pengundi yang kurang jelas mengenai isu berkenaan.

“Saya juga telah turun padang. Terdapat perkara-perkara tertentu yang kami perlu teliti. Kami akan merumuskan perancangan lebih baik demi kebaikan rakyat tanpa mengira siapa dan di mana mereka. Sibu masih boleh membangun dan makmur,” katanya.

Tiada ulasan: